IPOH - Meraikan Tahun Baharu Cina dengan nasi beriani merupakan pengalaman baharu buat keluarga pasangan L Manimaran, 58, dan Ooi Mei Kim, 51.
Sambutan meriah dengan kehadiran ahli keluarga dari jauh dan dekat menjadikan Tahun Baharu Cina kali ini cukup istimewa.
Menurut Manimaran, memang menjadi kelaziman setiap tahun ahli keluarga masing-masing berkumpul sekali untuk meraikan perayaan tersebut.
"Cuma tahun ini sambutan kami lebih istimewa sebab saya sendiri masak nasi beriani ini untuk 70 orang. Ada juga kari kambing dan ayam.
"Bukan sahaja ahli keluarga yang hadir tetapi rakan-rakan dan jiran terdekat juga hadir ke rumah kami meraikannya bersama-sama,” ceritanya kepada Sinar Harian.
Menurut Manimaran, sejak berkahwin selama 20 tahun lalu, tradisi makan bersama memang tidak pernah tinggal malah semakin meriah.
Katanya, selain ahli keluarga sebelah isteri yang ada di Ipoh, keluarganya dari Sungai Siput juga hadir memeriahkan suasana.
Jelas bapa kepada empat orang cahaya mata itu, walaupun berbeza kaum dan budaya, ia bukan satu halangan untuk menyatukan ahli keluarga.
"Begitu juga apabila sambutan Deepavali, kami sekeluarga akan berkumpul beramai-ramai di Sungai Siput.
"Itulah keunikan keluarga kami yang penuh dengan warna-warni. Kami akan masak dan makan bersama-sama setiap kali perayaan,” katanya yang juga bekas tentera.
Manimaran berkata, menjadi kewajipan setiap kali Tahun Baharu Cina, acara menggaul lou sang merupakan acara utama dan ia dilakukan bersama keluarganya yang terdiri daripada kaum India dan Cina.