PADA musim haji tahun lalu, seorang warga Pakistan yang juga petugas haji di Makkah membantu 26 jemaah yang pengsan dan rebah akibat kepanasan melampau ke hospital.
Bagaimanapun, hanya 17 jemaah sahaja terselamat iaitu 15 rakyat India dan masing-masing seorang warga Britain dan Kanada, manakala sembilan lagi meninggal dunia.
Bagi menghargai jasanya, Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari baru-baru ini menganugerahkan Sitara-i-Imtiaz, anugerah awam ketiga tertinggi di negara itu kepada Asif Bashir sebagaimana dilaporkan oleh Associated Press of Pakistan (APP).
"Ia sebagai tanda penghargaan atas sumbangan cemerlangnya dalam bidang perkhidmatan awam.
"Majlis penganugerahan itu berlangsung di Aiwan-e-Sadr atau rumah Pesiden di Islamabad, Pakistan dan turut dihadiri oleh ahli Parlimen,” katanya yang dipetik menerusi agensi berita tersebut.
Asif Bashir merupakan salah seorang petugas haji daripada 550 pembantu haji Pakistan yang dilantik oleh kerajaan untuk membantu jemaah dari negara itu, selain negara-negara lain.
Ketika kejadian, beliau bersama lima pasukannya dilaporkan bertindak pantas memberikan rawatan kecemasan kepada beberapa jemaah yang ‘tumbang’ akibat suhu panas melebihi 51 darjah celcius.
Lelaki itu dan rakannya memberikan air dan garam hidrasi oral (ORS), selain membawa mereka yang memerlukan rawatan ke hospital yang terletak sekitar lima hingga enam kilometer dari pos kawalan mereka.
Pada tahun lalu, pemuda itu turut menerima surat penghargaan yang ditulis oleh Menteri Hal Ehwal Parlimen dan Minoriti India, Kiren Rijju sebagai tanda penghargaan terhadap usaha beliau.