Warga kota buat kelainan sambut Tahun Baharu Cina

Iklan
Chan Yiyi bersama ibu bapanya yang menyambut Tahun Baharu Cina di Bukit Bintang pada Rabu.

KUALA LUMPUR - Tidak pulang ke kampung halaman bukan penghalang kepada warga kota mahupun anak perantau untuk menyambut Tahun Baharu Cina dengan meriah bersama keluarga.

Tinjauan Sinar Harian di sekitar ibu kota mendapati, rata-rata rakyat Malaysia memilih untuk melakukan kelainan dengan meraikan perayaan itu jauh dari desa tercinta.

Iklan
Iklan

Bagi pelajar, Chan Yiyi, 18, dia tidak pulang ke kampung pada tahun ini kerana ibu bapanya datang dari Johor Baharu hanya untuk meraikan sambutan Tahun Baharu Cina bersama-sama.

"Saya masih belajar dan selalunya akan pulang ke rumah di Johor Baharu tetapi tahun ini ibu bapa saya cadang untuk datang ke sini dan beraya bersama.

Iklan

"Selalunya dah biasa sambut di rumah, jadi kami mahu mencuba sesuatu yang baru dengan menyambut perayaan di perantauan untuk merasai kemeriahan bersama masyarakat di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Antara kaum Cina yang hadir menyambut Tahun Baharu Cina di ibu kota pada Rabu.

Kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina di ibu kota bukan sahaja dibanjiri kaum Cina tetapi juga India dan Melayu termasuk warga asing dari pelbagai negara.

Iklan

Aliran trafik di sekitar ibu kota juga lancar pada awal pagi, namun jalan raya mulai sesak selepas jam 10 pagi kerana kenderaan persendirian mula memasuki Kuala Lumpur.

Sementara itu, pekerja swasta, Koay Leong Thye, 65, berkata, tahun ini dia dan adik-beradik yang lain mengambil keputusan untuk berkumpul di sini berbanding pulang ke kampung halaman.

Ujarnya, sambutan perayaan boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan tidak semestinya perlu pulang ke desa kerana yang penting ada keluarga dapat berkumpul bersama-sama.

"Di mana kita sambut itu tidak penting, yang utama adalah dapat bersama keluarga. Jadi, untuk perayaan kali ini adik-beradik saya dari Singapura, Johor Bahru, Kedah dan Penang datang ke Kuala Lumpur.

"Kami tidak kisah lokasinya di mana, janji semua gembira dan dapat menikmati saat indah untuk dijadikan kenangan manis," katanya.

Aizat (dua dari kiri) bersama isteri dan anaknya.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Aizat Md Noor, 34, berkata, dia dan isteri tidak mahu melepaskan saat berharga itu dengan memupuk nilai perpaduan kepada anaknya dengan mengenakan busana tradisional masyarakat Cina iaitu cheongsam.

"Kita hidup dalam masyarakat berbilang kaum, jadi perayaan bangsa lain pun kita boleh turut sertai untuk rasa kemeriahan sambutan itu.

"Macam anak saya pakai cheongsam, saya nak pupuk dia mengenai erti perpaduan. Kita cuba dengan meraikan kemeriahan Tahun Baharu Cina bersama-sama di sini," tambahnya.

Viki (kanan) bersama isterinya.

Sementara itu, akauntan, Viki Njega, 36, berkata, walaupun berbeza kaum ia bukan penghalang untuk dia dan isteri untuk turut serta merasai kemeriahan sambutan perayaan tersebut.

Ujarnya, sambutan di ibu kota sangat meriah dan dapat melihat kegembiraan di setiap wajah di sini.