Kes tembak: Indonesia bertemu 4 rakyat yang cedera esok

Iklan
Kementerian dan kedutaan akan terus memantau kes itu dan menyediakan bantuan konsular serta perundangan bagi memastikan hak rakyatnya terjamin di bawah undang-undang Malaysia.

JAKARTA - Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur mengesahkan telah mendapat akses konsular untuk bertemu dengan empat rakyatnya yang cedera esok, susulan insiden tembakan melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor pada Jumaat lepas.

Kementerian Luar Indonesia dalam kenyataan mengesahkan kedutaannya di Kuala Lumpur telah dimaklumkan empat rakyatnya yang cedera sedang menerima rawatan di hospital dan dalam keadaan stabil.

Iklan
Iklan

"Setakat 27 Januari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa warga Indonesia dikenali dengan inisial ‘B’ dari Provinsi Riau, yang telah meninggal dunia, dapat dipulangkan selepas prosedur forensik selesai,” menurut kenyataan itu.

Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur telah menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Malaysia, menggesa siasatan menyeluruh dan menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan penggunaan kekerasan yang berlebihan.

Iklan

Kementerian dan kedutaan akan terus memantau kes itu dan menyediakan bantuan konsular serta perundangan bagi memastikan hak rakyatnya terjamin di bawah undang-undang Malaysia.

Pada 24 Januari, APMM yang sedang meronda melepaskan tembakan ke arah sebuah lagi bot yang didakwa cuba menyerang anggotanya di perairan Tanjung Rhu, Selangor kira-kira jam 3 pagi waktu tempatan, menurut kementerian itu.

Iklan

Terdahulu, Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia, Abdul Kadir Karding, menyatakan pihaknya masih belum dapat bertemu pekerja migran Indonesia tanpa izin yang cedera kerana masih di bawah pengawasan pihak berkuasa Malaysia di beberapa hospital.

"Kami menghormati proses undang-undang domestik mereka sepenuhnya, namun kami juga menggesa agar proses penguatkuasaan undang-undang dijalankan dengan telus,” katanya.

Ketua Pengarah APMM, Mohd Rosli Abdullah mengatakan siasatan kes itu dijalankan PDRM dan APMM sedia memberi kerjasama penuh, manakala anggota yang terlibat"direhatkan” sehingga siasatan selesai.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan menjelaskan siasatan mendapati tembakan dilepaskan untuk mempertahankan diri setelah bot APMM dilanggar empat kali oleh sebuah lagi bot, dan dua suspek dipercayai cuba menyerang anggota APMM dengan parang.

Bot itu kemudiannya ditemukan kira-kira 0.4 batu nautika barat daya Pulau Carey pada Jumaat lepas, apabila seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dan seorang lagi cedera parah disyaki warga Indonesia, kemudiannya dibawa ke sebuah hospital di Klang.

Seorang pegawai perubatan juga melaporkan tiga lelaki dengan kecederaan tembakan telah dimasukkan ke sebuah hospital di Serdang pada hari yang sama.

Polis melancarkan operasi keesokan harinya untuk mencari suspek lain yang menyerang, memandangkan bot yang digunakan dipercayai mampu membawa sekitar 15 hingga 20 orang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh, Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam semasa menjalankan tugas dan Seksyen 39 Akta Senjata 1960 bagi kesalahan melepaskan tembakan. - Bernama