Penganggur ditahan bersama ganja bernilai lebih RM50,000

Iklan
Lelaki itu dipercayai menerima bekalan dadah daripada warga Thailand di Bulatan Padang Besar sebelum dia membuat pengeposan kotak berkenaan di syarikat kurier. Foto hiasan

KANGAR - Polis menahan seorang penganggur dan merampas 16.6 kilogram (kg) ganja dianggar bernilai RM51,646 ketika lelaki terbabit dipercayai mahu menghantar dadah berkenaan ke sebuah syarikat kurier di Padang Besar pada Rabu lepas.

Timbalan Ketua Polis Perlis, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin berkata, lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 3.30 petang manakala kesemua dadah itu diisi dalam empat kotak.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan terhadap empat kotak itu menemukan ketulan mampat dan cecair disyaki ganja dianggar seberat 16.6kg.

"Lelaki itu dipercayai bertindak sebagai penghantar kotak mengandungi dadah ke syarikat kurier terbabit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, lelaki itu dipercayai menerima bekalan dadah itu daripada warga Thailand di Bulatan Padang Besar sebelum dia membuat pengeposan kotak berkenaan di syarikat kurier itu.

"Lelaki itu dipercayai dibayar upah RM800 bagi sekali penghantaran. Dipercayai perkhidmatan kurier digunakan kerana kebanyakan syarikat kurier tiada alat pengimbas untuk mengetahui isi kandungan barang di dalam kotak,” katanya.

Iklan

Baderulhisham berkata, dadah itu dipercayai untuk pasaran seluruh Semenanjung mengikut tempahan dan jumlahnya boleh digunakan 33,320 penagih.

Lelaki itu yang didapati positif dadah jenis ketamine, katanya, kini direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama