Kes tipu di Melaka babit kerugian lebih RM73 juta tahun lalu

Iklan
Kebanyakan mangsa menyedari ditipu selepas diminta membuat bayaran tambahan sewaktu cuba mendapatkan keuntungan. (Gambar kecil: Md Nazri) Gambar hiasan

MELAKA - Kesedaran orang ramai mengenai kes penipuan dalam talian di negeri ini masih rendah sekali gus menjadi kes jenayah terbesar direkodkan pada tahun lalu dengan jumlah kerugian dialami mangsa lebih RM73 juta.

Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, jumlah itu mewakili 92.5 peratus nilai kerugian berbanding kerugian kes komersial lebih RM79 juta dalam tempoh itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara punca berlakunya peningkatan kes jenayah komersial itu disebabkan sikap mangsa yang mudah terpedaya dengan ugutan dilakukan suspek.

"Malah ayat-ayat yang digunakan juga boleh memancing mangsa hingga percaya ia merupakan panggilan sebenar daripada pihak-pihak tertentu," katanya.

Iklan
Md Nazri (tengah) ketika berucap pada Majlis Apresiasi PDRM Melaka di IPK Melaka di Bukit Beruang, di sini, pada Selasa.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Apresiasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di Bukit Beruang, di sini, pada Selasa.

Tambahnya, selain itu suspek yang menghubungi mangsa juga akan memperdaya dengan kata-kata manis yang ingin membantu mangsa sehingga mangsa lupa dirinya sedang diperdaya.

Iklan

"Masyarakat perlu sentiasa peka dan tahu tentang kes-kes jenayah komersial dilaporkan yang menyebabkan kerugian besar kepada mangsa," katanya lagi.

Dalam pada itu, pada majlis berkenaan seramai 41 warga PDRM Melaka terdiri daripada pegawai kanan polis, pegawai rendah polis dan pegawai awam menerima sijil penghargaan atas kecemerlangan tugas yang dipamerkan sepanjang tahun lalu.