KOTA BHARU - Seorang warga emas berbangsa Cina disahkan tidak memeluk agama Islam selepas berlaku salah faham di antara seorang individu dan ahli keluarga lelaki terbabit.
Ketua Polis Daerah Machang, Ahmad Shafiki Hussin berkata, polis menerima laporan kira-kira jam 1.05 pagi Isnin daripada seorang pemandu van jenazah berusia 49 tahun memaklumkan menerima mayat seorang lelaki Cina warga tempatan berusia 70 tahun.
Menurut beliau, pemandu van (pengadu) memaklumkan menerima mayat warga emas itu di Kastam Rantau Panjang pada Ahad kira-kira jam 2.30 petang selepas dibawa menggunakan van jenazah dari Thailand oleh balunya yang berasal dari negara berkenaan.
Ahmad Shafiki memberitahu, isteri si mati meminta pengadu supaya menghantar mayat itu kepada keluarga di Kampung Banggol Pak Awang, Joh di Machang untuk urusan pengebumian.
"Pengadu terkejut dengan perkara itu dan memberitahu kepada adik si mati bahawa si mati merupakan seorang mualaf dan perlu dikebumikan segera," katanya.
Jelasnya, pengadu kemudian membuat laporan polis untuk merujuk pihak berkuasa agama Islam di Kelantan.
"Bagaimanapun, anak si mati yang berusia 37 tahun hadir ke Balai Polis Labok kira-kira jam 7.30 petang hari yang sama untuk memaklumkan mengenai kematian bapanya itu.
"Justeru, polis terus menjalankan pemeriksaan awal terhadap s imati dan didapati tiada sebarang unsur jenayah," katanya.
Ahmad Shafiki menjelaskan, pemeriksaan lanjut oleh Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Labok mengesahkan lelaki terbabit meninggal dunia akibat sakit jantung dan pernah menerima rawatan di sebuah hospital swasta di bandar Kota Bharu.
"Polis juga sudah merujuk mengenai status pengislaman di Pejabat Agama Jajahan Machang dan disahkan oleh Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bahawa si mati tiada dalam rekod pengislaman," katanya.
Justeru polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menimbulkan sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang mendatangkan kegusaran awam.