Israel tidak pernah maklum lanjut kehadiran tentera di sempadan - Lubnan

Iklan
Lubnan menafikan laporan bahawa Israel telah memaklumkan kepada negara itu mengenai keputusan mengekalkan tenteranya di lima lokasi sempadan untuk tambahan 15 hari selepas tarikh akhir Ahad. Foto AFP

BEIRUT - Lubnan menafikan laporan bahawa Israel telah memaklumkan kepada negara itu mengenai keputusan mengekalkan tenteranya di lima lokasi sempadan untuk tambahan 15 hari selepas tarikh akhir Ahad yang ditetapkan dalam gencatan senjata hasil perantaraan oleh Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Anadolu (AA).

"Maklumat yang disebarkan oleh beberapa media yang mendakwa musuh Israel memaklumkan Lubnan bahawa ia akan kekal di lima lokasi sempadan selama 15 hari adalah tidak benar,” menurut kenyataan pejabat media Presiden Lubnan.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, Presiden Joseph Aoun telah memaklumkan kepada jawatankuasa pemantauan gencatan senjata tentang penolakannya terhadap perkara itu.

Terdahulu, tentera Lubnan mengumumkan sokongannya terhadap penduduk bandar sempadan di selatan Lubnan dalam konfrontasi mereka dengan tentera Israel.

Iklan

Sekurang-kurangnya 22 orang dilaporkan terbunuh dan 124 yang lain cedera akibat tindakan tentera Israel pada Ahad ketika orang awam yang kehilangan tempat tinggal cuba kembali ke kediaman mereka di selatan Lubnan, menurut pihak berkuasa tempatan.

Ketegangan semakin memuncak selepas tentera Israel masih berada di wilayah Lubnan walaupun tarikh akhir 60 hari untuk pengunduran mereka dari selatan Lubnan telah berlalu pada Ahad.

Iklan

Gencatan senjata yang rapuh telah dilaksanakan antara Israel dan Lubnan sejak 27 November, sekali gus menamatkan tempoh berbalas serangan antara Israel dan kumpulan Hizbullah yang bermula pada 8 Oktober 2023 yang meningkat menjadi konflik berskala penuh pada 23 September 2024.

Di bawah syarat gencatan senjata, Israel dikehendaki mengundurkan tenteranya ke selatan Garis Biru - sempadan de facto - secara berperingkat, sementara tentera Lubnan akan dikerahkan ke selatan Lubnan dalam tempoh 60 hari.

Data Kementerian Kesihatan Lubnan menunjukkan bahawa sejak serangan Israel ke atas Lubnan yang bermula pada 8 Oktober 2023, sekurang-kurangnya 4,068 orang telah terbunuh, termasuk wanita, kanak-kanak dan petugas kesihatan manakala 16,670 yang lain cedera. - Bernama-AA