TAIPING - Deretan 12 motosikal rentung di Kampung Tanjung Medan, Layang Kiri, Parit pada awal pagi Isnin berpunca daripada bekas telur yang dibakar untuk menghalau nyamuk.
Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, siasatan awal mendapati, kes itu berlaku akibat kecuaian pemilik yang membakar bekas telur dipercayai bagi menghalau nyamuk.
"Kita syaki semasa kejadian, bekas telur itu ditinggalkan dan pemilik tidak menyedari api itu telah merebak.
"Tiada unsur khianat atau jenayah dalam insiden kebakaran itu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 peringkat Kontinjen Perak di Plaza Tol Taiping Selatan, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Isnin.
Sinar Harian melaporkan, sebanyak 12 motosikal terbakar dalam kejadian di hadapan garaj sebuah rumah di Kampung Tanjung Medan, Layang-Layang Kiri.
Kebakaran tersebut berjaya dikawal anggota bomba dalam tempoh lapan minit selepas menerima panggilan pada jam 3.39 pagi.
Pemeriksaan mendapati dua motosikal jenis Honda EX5, Yamaha LC135 dan Honda Wave 110 dengan nombor pendaftaran kenderaan tidak dikenal pasti musnah 60 peratus.
Sementara itu, empat motosikal jenis Yamaha LC, YamahaY15, Honda Wave, Modenas Kriss dan SRV mengalami 20 peratus kebakaran.