MASIH terdapat segelintir individu degil yang gemar meletakkan kenderaan di tempat larangan terutama di kawasan sesak.
Walaupun pihak berkuasa telah memberi peringatan berulang kali, sikap individu terbabit bukan sahaja melanggar undang-undang jalan raya, malah menyusahkan pengguna lain.
Hakikatnya sikap tidak peduli mereka itu secara tidak langsung memberi kesan kepada keselamatan orang awam dan menyebabkan kesesakan trafik yang teruk.
Janganlah kita mementingkan diri dan memberi alasan parkir tidak mencukupi untuk kita 'menghalalkan' tindakan tersebut tanpa memikirkan kesan kepada pengguna jalan raya lain.
Antara kesalahan dilakukan ialah dengan meletakkan kenderaan di laluan utama, lorong kecemasan, tepi jalan sempit, persimpangan, parkir khas orang kurang upaya (OKU) yang menghalang laluan.
Parkir secara sesuka hati juga boleh menyebabkan penglihatan pemandu terhalang terutamanya berhampiran simpang atau lorong sempit yang boleh mengundang kemalangan.
Lebih memburukkan keadaan, jika berlaku kes-kes kecemasan hingga menyebabkan kenderaan pasukan keselamatan dan penyelamat seperti ambulans, bomba dan polis terhalang.
Kes melibatkan kecemasan seperti kemalangan jalan raya, serangan jantung dan kebakaran sememangnya memerlukan bantuan segera.
Namun kerana sikap tidak bertanggungjawab itu, ada nyawa yang mungkin terkorban akibat bantuan lambat sampai ke tempat sepatutnya.
Oleh itu, pihak berkuasa perlu bertindak tegas dengan melaksanakan pemantauan rutin dan berkala bagi membendung masalah itu secara lebih berkesan.
Penguatkuasaan yang dibuat bukan hanya bermusim, sebaliknya perlu dilaksanakan secara konsisten dan menyeluruh.
Tindakan tegas bukan sahaja memberi pengajaran kepada pemilik kenderaan yang melanggar peraturan, tetapi juga memberi amaran kepada pemandu lain.
Penggunaan kamera litar tertutup (CCTV) atau sistem pemantauan lain di kawasan berisiko tinggi membantu pihak berkuasa mengenal pasti kesalahan parkir.
Selain itu, pihak berkuasa juga perlu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya mematuhi peraturan parkir kenderaan.
Kempen melalui media sosial, poster di tempat-tempat tumpuan dan pengumuman di kawasan awam dapat membantu mendidik pemandu agar mengikut peraturan ditetapkan.
Tindakan penguatkuasaan lebih tegas menjadikan masyarakat lebih peka dan bertanggungjawab terhadap peraturan lalu lintas.
Hukuman seperti denda, kompaun atau tunda kenderaan yang melanggar peraturan juga dapat memberikan pengajaran kepada pemandu yang tidak mematuhi undang-undang selain mendidik mereka lebih berhati-hati pada masa akan datang.
Dalam menangani isu ini juga, pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadang menyediakan lebih banyak tempat parkir terutamanya di kawasan tumpuan ramai dan di pusat bandar.
Pembangunan parkir bertingkat atau ruang parkir awam lebih banyak dapat mengurangkan tekanan kepada pemandu.
Penyediaan lebih banyak ruang parkir bukan sahaja dapat mengurangkan kesesakan trafik, tetapi juga meningkatkan keselamatan jalan raya dan memberi kemudahan lebih baik kepada pengguna.
Sudah tiba masanya juga PBT membangunkan aplikasi parkir mudah alih yang dapat membantu pengguna mencari tempat parkir kosong dengan lebih cepat.
Teknologi ini juga dapat membantu pihak berkuasa menguruskan dan mengesan penggunaan ruang parkir secara lebih efisien.
Sehubungan itu, kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan aliran trafik lebih teratur dan selamat sekali gus mengelakkan sebarang konflik antara pihak berkuasa dan pemilik kenderaan.
Mohd Izzatul Izuan Tahir ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Selangor/KL