TERIMA kasih kepada Kerajaan Madani dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) kerana meneruskan pemberian bantuan awal persekolahan RM150 bagi setiap murid sekolah rendah mahu pun sekolah menengah untuk sesi 2025.
Tidak boleh dinafikan bantuan berkenaan dapat membantu mengurangkan beban kewangan ibu bapa terutama untuk membeli buku tulis dan peralatan sekolah namun ia tidak mencukupi serta perlu ditambah.
Ini kerana bantuan RM150 berkenaan hanya cukup-cukup untuk membeli buku latihan dan buku kerja yang diarahkan pihak sekolah sahaja, belum lagi termasuk yuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), pembelian pakaian sukan, bayaran ko-kurikulum dan lain-lain.
Lebih parah lagi, ada sekolah yang didakwa mewajibkan murid dan pelajar membeli buku rujukan serta buku tulis yang hanya digunakan sekali-sekala atau langsung tidak digunakan dalam pembelajaran harian.
Ada juga sekolah yang awal-awal lagi sudah memaklumkan bahawa setiap murid dan pelajar perlu membayar tambahan RM20 hingga RM100 bagi tujuan membaik pulih tandas, menggantikan kipas dan surau.
Ibu bapa tidak sepatutnya dibebankan dengan bayaran berkenaan kerana difahamkan KPM memang menyediakan peruntukan tahunan khusus bagi membaik pulih bangunan dan pelbagai kemudahan lain di setiap sekolah.
Justeru, ramai ibu bapa terutama mereka yang berpendapatan rendah berharap KPM dapat mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melakukan pemantauan supaya pihak sekolah tidak mengenakan 'tekanan' kewangan kepada mereka.
Ini termasuklah untuk membayar pelbagai yuran dan membeli buku rujukan yang tidak perlu dan kurang munasabah terutama bagi murid sekolah rendah yang sudah tidak terikat dengan sistem peperiksaan selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Tambahan pula, ibu bapa juga turut dibebani dengan kenaikan harga pakaian seragam termasuk baju, seluar, kain, dan kasut sekolah yang meningkat lebih 20 peratus di pasaran tempatan.
Selain itu, KPM, JPN, PPD dan PIBG juga perlu kembali duduk semeja bagi menyelesaikan isu beg sekolah berat dan beban tugas guru yang sudah berterusan sejak sekian lama.