Anggota JPJ akan guna kamera badan beberapa bulan lagi - Aedy Fadly

Iklan
Aedy Fadly (tiga dari kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada Ketua Biro Sinar Harian Kelantan, Hazelen Liana Kamarudin semasa Perhimpunan Setia Khas JPJ Kelantan di Kota Bharu pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN

KOTA BHARU - Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli memaklumkan penggunaan kamera badan untuk anggota dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

"Kita jangkakan ia dapat dilaksanakan secepat mungkin, namun poses awal melibatkan pengeluaran surat tawaran kepada syarikat terlibat pada bulan Ogos atau September nanti.

Iklan
Iklan

"Ia masih dalam proses perancangan perolehan. Sekarang ini kita tengah usahakan dari segi peruntukan, kemudian akan buat perolehan untuk pemasangan kamera badan," katanya ketika sidang akhbar pada Ahad.

Aedy Fadly (tiga dari kiri) merasmikan Kelab Pesara JPJ Negeri Kelantan semasa Perhimpunan Setia Khas JPJ Kelantan di Kota Bharu pada Ahad. FOTO SINAR HARIAN

Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Setia Khas JPJ Kelantan di sini yang turut dihadiri oleh Pengarah Kanan Penguat kuasa, Muhammad Kifli Ma Hassan dan Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Iklan

Menurut beliau proses tersebut sedang berjalan dan ia akan mengambil masa, namun tidak semua unit akan memperolehnya kerana disebabkan kekangan kewangan.

Aedy Fadly memberitahu, ada banyak projek lain yang terpaksa dilaksanakan dan ini salah satu daripadanya.

Iklan

"Nanti akan ada SOP baharu apabila penggunaan kamera badan dilaksanakan.

"Untuk masa sekarang penerapan nilai integriti masih tetap berjalan seperti biasa," katanya.

Sinar Harian pada 6 Januari lalu melaporkan penggunaan kamera badan untuk anggota JPJ akan diperkenalkan bagi meningkatkan ketelusan penguatkuasaan, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Dalam sidang media selepas majlis amanat tahun baharu 2025 Kementerian Pengangkutan, beliau berkata, penggunaan kamera badan bagi anggota JPJ di lapangan akan meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan khususnya melibatkan kenderaan berat.