Perak guna sistem e-Tanah elak kes tukar nama tanah tanpa kebenaran

Iklan
Mohamad Fariz (kiri) mengiringi Saarani ketika merasmikan Program Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

IPOH - Kerajaan Perak menggunakan sistem e-Tanah bagi mengelak berlaku sebarang salahguna kuasa dalam urusan berkaitan tanah di negeri ini.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, penggunaan sistem e-Tanah tersebut meningkatkan tahap keselamatan berbanding kaedah manual yang mempunyai banyak kelemahan.

Iklan
Iklan
Mohamad Fariz

Menurutnya, sebelum pelaksanaan Sistem Pendaftaran Tanah Berkomputer (SPTB) terdapat ruang tertentu untuk berlaku penyelewengan berkaitan urusan tanah.

"Kita mengambil pengajaran semasa dan menukar daripada manual kepada sistem SPTB dulu, daripada situ juga kita dapati berlaku kadang-kadang yang boleh mengakibatkan ruang dan peluang untuk mereka menukar nama.

Iklan

"Selepas kita belajar daripada kesilapan itu, kita berunding dengan vendor untuk e-Tanah ini agar langkah keselamatan dipertingkat supaya pindah milik tidak sewenang-wenangnya berlaku," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sempena Program Hari e-Tanah Negeri Perak di Stadium Indera Mulia di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir menyempurnakan program tersebut, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Dalam pada itu, Mohamad Fariz berkata, melalui sistem itu, di peringkat kakitangan, semua yang terlibat dengan urusan e-Tanah berkenaan mempunyai identiti digital (ID).

Beliau berkata, menerusi ID berkenaan sebarang bentuk salah guna kuasa sama ada melibatkan pegawai atau kakitangan lain boleh dikenal pasti.

"Melalui e-Tanah ini, kita hanya menerima pindah milik dengan hanya mengemukakan geran hak milik asal sahaja. Di tempat lain bukan hak milik asal, boleh terima, tapi kita tidak.

"Kita yakini perlindungan berkenaan dan pengajaran yang diperolehi semasa kita menukar kepada SPTB dulu, maka Alhamdulillah setakat ini saya nak kata 100 peratus Alhamdulillah, kita berjaya mengawal sebarang bentuk salah laku mahupun cubaan mengambil kesempatan," katanya.

Pada 10 Januari lalu, media melaporkan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf mendedahkan seramai 17 individu termasuk tujuh penjawat awam dari sebuah PTG di Selangor berumur antara 26 hingga 59 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kegiatan pindah milik tanah secara tidak sah di pejabat berkenaan.

Ramli berkata, mereka yang ditahan secara berasingan sejak Sept lepas itu disyaki terbabit kartel pindah milik tanah, dengan tujuh kes disiasat membabitkan tanah seluas 21 ekar atau lebih 9.4 hektar dengan nilai kerugian keseluruhan berjumlah RM7.1 juta.