'Tak salah berhimpun selagi ikut garis panduan' - Pemuda MCA

Iklan
Choo Seong

SHAH ALAM - Pemuda MCA mendakwa himpunan secara aman tidak menyalahi undang-undang selagi garis panduan dipatuhi, keselamatan peserta terjamin dan kerjasama sepenuhnya diberikan kepada pihak polis.

Ketua Penerangan Pemudanya, Neow Choo Seong, perkara tersebut selaras dengan prinsip demokrasi dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Iklan
Iklan

"Kerajaan diingatkan bahawa Akta Perhimpunan Aman ini digubal selepas siri demonstrasi jalanan yang dianjurkan seperti Bersih 1.0 pada 2007, Bersih 2.0 (2011), Perhimpunan Hindraf (2007) dan Himpunan Anti ISA (2009).

Pada Isnin, Sekretariat Rakyat Benci Rasuah terkejut berhubung arahan polis untuk mendapatkan persetujuan daripada pemilik premis yang bakal menjadi tempat mereka mengadakan himpunan itu.

Iklan

Menurutnya, syarat tambahan yang dikenakan pihak berkuasa ke atas mereka adalah tidak mempunyai asas undang-undang kerana protes tersebut sepatutnya dijalankan di kawasan awam.

Dalam pada itu, Choo Seong yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) yakin bahawa semua syarat telah dipatuhi oleh pihak penganjur dan tiada sebab perhimpunan ini dihalang.

Iklan

"Di mana-mana negara demokrasi, perhimpunan aman adalah satu amalan yang biasa. MCA dan BN akan sentiasa menghormati prinsip ini.

"Kami juga tidak akan menafikan hak demokrasi rakyat untuk berhimpun selagi ia tidak bercanggah dengan peraturan dan undang-undang,” jelas beliau.

Mengulas dakwaan terdapat pihak mendakwa parti itu kerana tidak melawan rasuah semasa berkuasa, Choo Seong berkata, tiada pemimpin MCA yang terpalit dengan gejala rasuah mahupun kronisme.

"Sekiranya ada, MCA tidak akan melindungi tindakan yang salah dan individu tersebut perlu berhadapan dengan proses undang-undang adil, tanpa campur tangan politik.

"Dalam masa sama, pemuda MCA juga memandang serius pengakuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan terdapat pendakwaan dalam beberapa kes yang dilakukan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 sebagai cacat,” katanya.