SIAPA yang waras pasti tidak akan lupa tentang kejadian yang begitu menyayat hati apabila mahasiswa sebuah universiti tempatan didera hingga menyebabkan mangsa menghembuskan nyawanya.
Sebenarnya kes buli bukan sahaja berlaku melibatkan pelajar di sekolah atau asrama, bahkan turut melibatkan orang dewasa di tempat awam termasuk di pasar tani seperti yang berlaku baru-baru ini.
"Biasanya ia mengakibatkan kecederaan fizikal atau gangguan emosi kepada mangsa."Buli kini menjadi satu ancaman yang membimbangkan dalam masyarakat di negara ini,” kata khatib ketika menyampaikan khutbah Jumaat bertajuk Ambil Peduli, Noktahkan Buli yang disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), minggu lalu.
Pesan khatib, sedarlah bahawa sekecil-kecil kejahatan juga akan dibawa ke perbicaraan mahkamah teragung di hadapan ALLAH SWT termasuk pelbagai jenis buli iaitu fizikal, lisan, bukan lisan dan buli siber.
Katanya, merujuk kepada buli siber, laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahun 2023 menyenaraikan Malaysia di tangga kelima di dunia dan kedua di Asia.
"Lebih menyedihkan, pada 22 Mac 2024 lalu kita dikejutkan dengan laporan kes kematian seorang pelajar akibat dibuli oleh 13 orang rakan mangsa.
Faktor kes buli meningkat
Persoalannya, mengapakah semua ini terjadi? Bagi menjawabnya, khatib menjelaskan, beberapa faktor telah dikenal pasti dan perlu diberi perhatian oleh umat Islam, antaranya:
1 - Kelemahan institusi kekeluargaan
Pengabaian didikan ibu bapa dan kurang kasih sayang di samping cara didikan yang kasar menyebabkan anak menjadi pembuli.
"Kita pun tahu bahawa sikap ayah dan ibu memberi kesan dalam pembentukan adab dan akhlak anak-anak,” jelasnya.
Khatib kemudian membacakan hadis yang diriwayatkan Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:"Setiap anak yang dilahirkan itu dalam keadaan fitrah (suci bersih), maka kedua-dua ibu bapanya yang mencorakkannya menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
2 - Pengaruh media sosial
Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan bahawa 28 juta rakyat Malaysia aktif menggunakan media sosial.
Ujarnya, secara purata rakyat Malaysia menghabiskan masa selama dua jam 48 minit setiap hari untuk menggunakan media sosial.
3 - Sikap individu yang mementingkan diri
Sifat ego, panas baran dan kurang empati mendorong kepada berlakunya kes buli dalam kalangan masyarakat.
"Sebagai contoh, seseorang yang merasakan dirinya hebat atau kuat, sering mengejek dan memandang rendah kepada orang lain sehingga melakukan penindasan secara sedar ataupun tidak,” ujar khatib.
Khatib mengingatkan, perbuatan buli memberi kesan yang amat besar pada diri mangsa, pembuli dan keluarga.
"Bagi si pembuli pula, kesan kepada diri sendiri amat besar apabila disabitkan dengan jenayah tersebut,” ujarnya.
Khatib mengajak jemaah untuk turut sama berfikir mengenai gambaran masa depan pembuli dan keluarga mereka jika dikenakan hukuman penjara mahupun sebatan sehingga memusnahkan kehidupannya.
"Jangan kerana inginkan keseronokan dan penyelesaian sementara, akhirnya menjadikan kehidupan dan masa depan kita sia-sia,” pesannya.
Jalan penyelesaian kes buli
Untuk mengatasi gejala buli yang penuh kezaliman ini, ujar khatib, marilah kita lihat apa yang telah digariskan oleh Islam sebagai jalan penyelesaian.
"Antaranya suburkan kasih sayang di dalam jiwa anak-anak dengan didikan agama yang sempurna berlandaskan al-Quran dan sunnah.
"Wujudkan persekitaran yang baik untuk mereka membesar dalam suasana yang baik dan harmoni,” hurainya.
Tambahnya, tunjukkan suri teladan yang baik kepada anak dengan sikap yang positif dan akhlak yang mulia."Jangan takut untuk bertindak dan jangan pendamkan, anda tidak bersendirian dan masih ramai pihak yang prihatin untuk membantu anda,” katanya.
Di samping itu, katanya, ambil peduli dan berikan perhatian kepada keluarga dan persekitaran kita.
"Pastikan diri dan ahli keluarga tidak terlibat sebagai pembuli atau mangsa. Kenal pasti perubahan sikap, tingkah laku dan gaya hidup ahli keluarga.
"Seandainya berlaku kemurungan, kesedihan yang berpanjangan, sikap memendam rasa yang mencurigakan atau bertingkah laku agresif, besar kemungkinan mereka terlibat dengan kes buli.
"Dekatilah dan selamilah jiwa agar mereka tidak merasakan bersendirian,” ujar khatib.
Kepada pembuli, khatib mengingatkan agar segara berubah dan hentikan perbuatan buli serta bertaubatlah kepada ALLAH SWT.
***Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan diterbitkan dalam laman web rasmi jabatan berkenaan.