Kerajaan Pulau Pinang rugi RM17.7 juta penyewa tak bayar sewa rumah

Iklan
Sundarajoo (dua dari kanan) bersama Mooi Lye (dua dari kiri) dan Rajendran (kanan) menunjukkan buku garispanduan RMM Pulau Pinang.

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menanggung kerugian sebanyak RM17.7 juta apabila 7,854 penyewa rumah Skim Perumahan Awam Kos Rendah Pulau Pinang dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di negeri ini tidak membayar sewa sejak berpuluh tahun lalu.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Datuk Seri S Sundarajoo berkata, tindakan tersebut bukan sahaja menyebabkan aliran kewangan kerajaan negeri terjejas malah merugikan golongan yang benar-benar layak menikmati kemudahan perumahan ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, jumlah tersebut diambil daripada rekod penyewa yang masih aktif.

"Setelah kita meneliti, masalah ini berpunca daripada pelbagai isu antaranya penyewa yang tidak membayar sewa hingga bertahun-tahun, kehilangan kelayakan berdasarkan pendapatan dan gagal membayar yuran penyelenggaraan yang berterusan.

Iklan

"Oleh demikian, kita akan mengambil tindakan tegas selepas ini. Sekiranya penyewa gagal membayar sewa dan penyelenggaraan tiga bulan berturut-turut, mereka akan diminta keluar dari rumah.

"Tindakan tegas ini untuk membolehkan mereka yang benar-benar layak tinggal di perumahan berkenaan," katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini pada Jumaat.

Iklan

Terdahulu, Sundarajoo mengumumkan mengenai penambahbaikan garis panduan Rumah Mampu Milik (RMM) Pulau Pinang dan penjenamaan semula nama dan logo bagi Rumah Mampu Milik (RMM) kepada Rumah Mutiaraku.

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, H'ng Mooi Lye dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang, Datuk A Rajendran.

Mengulas lanjut, Sundarajoo berkata, kerajaan negeri juga tidak lagi berkompromi untuk mereka yang tinggal di perumahan berkenaan melebihi tiga tahun.

"Syarat ini memang sudah lama tetapi kita tidak terlalu tegas dalam isu ini. Disebabkan itu, ada (penyewa) yang tinggal sehingga 10 tahun, selepas ini, kita akan lebih tegas.

"Dalam tempoh tiga tahun tersebut, penyewa perlu berusaha membeli rumah bagi membolehkan mereka yang layak pula tinggal di situ," katanya.

Selain itu, menurut Sundarajoo, rumah PPR diwujudkan sebagai langkah membantu golongan berpendapatan rendah namun terdapat penyewa yang masih menduduki rumah tersebut walaupun pendapatan mereka kini sudah melebihi had kelayakan iaitu RM1,500.

"Dahulu, mungkin RM1,500 adalah had munasabah, tetapi kini ada penyewa yang gaji sudah naik RM3,000 ke atas tetapi masih menduduki rumah ini.

"Ini satu ketidakadilan kepada golongan miskin yang benar-benar memerlukan, jadi kita akan pastikan hanya mereka yang benar-benar layak dapat menduduki rumah PPR ini," katanya.

Beliau menambah, penyewa yang gagal menjelaskan tunggakan melebihi tiga bulan juga akan dikenakan notis pemilikan semula unit.

"Sekiranya penyewa gagal membayar tunggakan, mereka akan disenaraihitamkan daripada menduduki mana-mana perumahan rakyat di negeri ini.

"Kita juga tiada pilihan lain melainkan mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Jelas beliau, Kerajaan Pulau Pinang akan mempertimbangkan untuk menghapus kira hutang lapuk penyewa rumah PPR dan rumah kos rendah, khususnya melibatkan kes tunggakan yang terlalu lama sejak era 1970-an hingga 1990-an.

"Langkah itu melibatkan penyewa yang telah meninggal dunia atau gagal dikesan.

"Bagaimanapun, bagi tunggakan terkini, kita akan usaha kutip semula. Pada masa yang sama, sistem pemantauan yang lebih ketat akan dilaksanakan bagi memastikan tiada lagi tunggakan besar seperti ini pada masa depan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa kadar sewa rumah PPR dan rumah kos rendah di Pulau Pinang kekal antara yang terendah di negara ini, iaitu serendah RM70 hingga RM200 sebulan.

"Kerajaan negeri juga menyediakan skim sewa beli bagi memberi peluang kepada penyewa memiliki rumah secara ansuran dalam tempoh 15 hingga 18 tahun.

"Bagi mereka yang layak tetapi tidak mampu mendapatkan pinjaman bank, skim sewa beli ini adalah pilihan terbaik. Namun, jika penyewa gagal mematuhi syarat, mereka juga berisiko kehilangan kelayakan,” jelasnya.

Sundarajoo menambah, langkah itu menunjukkan komitmen kerajaan negeri dalam membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah sambil memastikan pengurusan kewangan yang lebih teratur bagi perumahan awam.