ISRAK dan Mikraj ialah satu lagi mukjizat agung dikurniakan oleh ALLAH SWT kepada Nabi Muhammad SAW.
Peristiwa yang berlaku pada 27 Rejab dalam satu malam itu menyaksikan Rasulullah SAW melalui perjalanan dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Baitulmaqdis, Palestin (Israk), sebelum naik ke Sidratulmuntaha bertemu ALLAH SWT (Mikraj).
Sesungguhnya, perjalanan agung Baginda dengan menaiki buraq itu sarat dengan pengajaran besar tentang kedudukan solat dalam Islam.
Malah, ia juga mengajar kita tentang keutamaan hubungan antara seorang hamba dengan Sang Pencipta dan sesama manusia yang relevan dengan kehidupan kita sebagai khalifah di atas muka bumi ini.
Bagi mengupas lanjut tentangnya, Sinar Islam Plus mendapatkan Ketua Imam Masjid At-Taqwa, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Ustaz Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir.
Jelas beliau, salah satu daripada ibrah dan inti pati penting peristiwa Israk serta Mikraj adalah pengukuhan kedudukan solat sebagai tiang agama yang berupaya membentuk disiplin dan akhlak seorang Muslim.
Firman ALLAH SWT:"Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa’: 103)
"Kewajiban melaksanakan solat lima waktu mengikut masa yang telah ditetapkan menjadikan seorang Muslim lebih berdisiplin dalam pengurusan masa.
Dari segi pembentukan akhlak pula, pendakwah itu melihat solat secara berjemaah menjadi antara mediumnya.
"Bayangkan dalam saf solat, setiap maklum tanpa mengira apa jua pangkat dan kedudukannya perlu mengikuti imam.
"Situasi ini mengajarkan sikap toleransi dan kesamarataan. Makmum perlu peka dengan orang di sebelahnya, tidak boleh pentingkan diri, buat perkara yang mengganggu orang solat dan sebagainya,” terangnya panjang lebar.
Azab tinggalkan solat
Mengapa ada individu yang masih melakukan dosa dan kemungkaran walaupun tidak pernah meninggalkan solat?
Menjawab pertanyaan itu, Ustaz Ahmad Fakhruddin menjelaskan, antara salah satu puncanya adalah kurang khusyuk ketika melaksanakan kewajipan tersebut.
"Solat yang dilakukan dengan khusyuk, berkualiti dan mematuhi rukun serta syarat-syaratnya menjadi benteng kepada kita untuk menjauhi maksiat di luar sembahyang.
"Jika kita membawa semua sikap ini di luar solat seperti jaga pandangan, tertib, khusyuk, ingat ALLAH dan sebagainya, insya-ALLAH diri terhindar daripada perbuatan keji dan mungkar,” terangnya.
Seperkara lagi yang menarik perhatian Sinar Islam Plus apabila Ustaz Ahmad Fakhruddin membutirkan tentang azab apabila seseorang meninggalkan solat.
Dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah SAW diperlihatkan dengan sekumpulan manusia yang dihentak kepalanya dengan batu sehingga pecah dan apabila ia kembali kepada bentuk asal, kejadian sama berulang.
"Bahkan Mazhab Syafie menegaskan, individu yang meninggalkan solat kerana malas, tetapi tidak mengingkari kewajipannya dikategorikan sebagai fasik. Mereka perlu segera bertaubat dan menggantikan solat yang ditinggalkan.
"Sebahagian ulama menyatakan, jika seseorang meninggalkan solat fardu lima waktu setiap hari dengan sengaja, maka amalan-amalannya yang lain tidak diterima oleh ALLAH SWT,” ujarnya.
Jaga hubungan dengan ALLAH, manusia
Meneruskan perkongsian ilmunya, Pegawai Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan itu kemudian menyentuh tentang keseimbangan hubungan kita dengan ALLAH SWT dan sesama manusia.
Selain kemaslahatan solat, katanya, Nabi Muhammad SAW juga diperlihatkan azab bagi orang yang suka memfitnah dan mengumpat.
"Individu berkenaan mencakar-cakar muka dan dada mereka sendiri. Perkara ini menjadi peringatan agar kita menjaga hubungan sesama manusia, menghindari fitnah, umpatan dan kata-kata yang menyakitkan hati orang lain,” tuturnya.
"Satu lagi ketika peristiwa itu juga, Rasulullah SAW juga mencium bau harum yang berasal dari Masyitah, wanita tukang sikat anak Firaun yang mati syahid kerana mempertahankan keimanan kepada ALLAH.
"Masyitah mati kerana ALLAH SWT, maka ALLAH akan mengangkat makamnya dengan syurga,” ungkapnya.
Sebagai hamba-NYA, jelas beliau, kita perlu mengambil ibrah daripada peristiwa itu dengan menjaga disiplin solat, membentuk akhlak mulia, hubungan dengan ALLAH dan sesama manusia serta sentiasa berhati-hati mendepani cabaran dunia moden hari ini.
"Berhati-hatilah dengan kemudahan teknologi moden seperti media sosial kini kerana cabaran pada hari ini, jari-jemari juga boleh melontarkan fitnah.
"Ingatlah, Israk dan Mikraj bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi ia menjadi motivasi untuk kita memperbaiki diri, meningkatkan kualiti iman dan amalan harian serta mendekatkan diri kepada ALLAH,” titipnya.