Henti tol percuma musim perayaan: Keputusan strategik guna dana awam

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai pemberian tol percuma.

ALOR SETAR - Keputusan Kementerian Kerja Raya menghentikan pemberian tol percuma semasa perayaan utama bermula tahun ini merupakan keputusan strategik selain selaras dengan usaha kerajaan menyelaraskan subsidi secara bersasar.

Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah, Datuk Mohd Zayad Md Ismail berkata, keputusan itu dianggap tepat apabila mengambil kira beberapa pertimbangan penting, selain tumpuan kepada keberkesanan dan keadilan sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemberian subsidi bersasar bukan sahaja dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat, tetapi menjadikan penggunaan dana awam lebih adil dan efektif.

"Ia dapat memastikan subsidi tersebut sampai kepada golongan benar-benar memerlukan.

Iklan

"Dalam keadaan ekonomi mencabar, pengurusan kewangan negara perlu diteliti secara bijak. Dana besar yang digunakan untuk tol percuma, bersifat sementara dan terhad kepada pengguna lebuh raya sedangkan ia boleh dialihkan kepada insentif lain seperti pembangunan infrastruktur kritikal atau bantuan langsung kepada rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Mohd Zayad berkata, keputusan tersebut juga dianggap strategik dalam mengurangkan beban kewangan kerajaan yang terpaksa membayar pampasan besar kepada syarikat konsesi tol.

Iklan

"Pampasan tersebut hanya memberikan manfaat sementara kepada pengguna lebuh raya dan terhad kepada waktu tertentu. Sebaliknya, pendekatan baharu dapat membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat secara keseluruhan.

"Penghapusan tol percuma juga dijangka mendorong lebih ramai rakyat memilih pengangkutan awam, serta mengurangkan kesesakan lalu lintas selain menyokong matlamat kelestarian negara,” ujarnya.

Pada Selasa, Kementerian Kerja Raya memaklumkan dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini termasuk bagi sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan akan diumumkan dari semasa ke semasa.

Dalam pada itu, Mohd Zayad turut menekankan keperluan pelaburan strategik dalam infrastruktur trafik dan penggunaan teknologi pintar dalam memastikan peningkatan menyeluruh dalam sistem pengangkutan negara.

"Keutamaan kepada keberkesanan ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian alam sekitar perlu menjadi asas kepada mekanisme baharu yang dirancang.

"Antara pendekatan baharu yang diyakini dapat menggantikan tol percuma secara lebih inovatif ialah sistem pengurusan trafik pintar (ITMS) untuk memantau dan mengurus aliran trafik secara dinamik bagi mengurangkan kesesakan,” katanya.

Menurutnya lagi, langkah lain termasuk penggunaan lampu isyarat pintar yang diselaraskan berdasarkan jumlah kenderaan untuk melancarkan aliran trafik.

"Usaha lain mungkin diberikan rebat tol digital, iaitu rebat bersasar kepada pengguna lebuh raya yang layak berdasarkan kekerapan penggunaan atau tahap pendapatan.

"Aplikasi mobiliti pintar juga boleh disarankan untuk bantu pengguna jalan raya mendapatkan maklumat terkini mengenai trafik dan mencadangkan laluan alternatif,” jelasnya.

Mohd Zayad berkata, DPMM Kedah memahami keresahan rakyat berhubung perubahan ini, namun pihaknya yakin ia akan membawa manfaat lebih besar dan menyeluruh.

"Kerajaan disarankan terus menyediakan subsidi bersasar dan komunikasi yang jelas dalam setiap pelaksanaan keputusan agar kesejahteraan rakyat tetap menjadi keutamaan,” katanya.

Pada 25 Disember lalu, Mohd Zayad mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian insentif kepada pengendali pengangkutan awam berbanding pemberian tol percuma pada musim perayaan.

Beliau berkata, langkah tersebut dilihat lebih strategik selain mampu menangani masalah kesesakan kenderaan serta mengurangkan beban kewangan kerajaan.

Menurutnya, insentif kepada pengendali pengangkutan awam seperti bas ekspres, kereta api dan kapal terbang juga boleh menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.