KEPUTUSAN Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.0 peratus telah dijangka kebanyakan pakar ekonomi dan pada umumnya merupakan berita positif untuk rakyat.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan pengekalan OPR memudahkan rakyat membuat keputusan pembiayaan dan melabur dalam instrumen kewangan.
"Sebagai contoh, dengan kestabilan OPR ini, rakyat tidak perlu tergesa-gesa dalam memilih sebarang skim pembiayaan atau pelaburan yang sesuai untuk mereka berbanding ketika OPR berada pada kadar tinggi seperti pada tahun 2022.
"Pada masa sama ketidakpastian terhadap kadar inflasi berikutan jangkaan perubahan seperti rasionalisasi subsidi bahan api juga menuntut OPR untuk dikekalkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Terdahulu, menerusi mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pada Rabu, BNM memutuskan OPR yang bertindak sebagai penanda aras bagi kadar pinjaman dan deposit tempatan dikekalkan pada 3.0 peratus.
BNM dalam kenyataannya menjelaskan ekonomi global mencatatkan pertumbuhan yang lebih tinggi daripada jangkaan pada 2024, mencerminkan pertumbuhan sebenar yang lebih baik di ekonomi utama dan perdagangan global yang lebih kukuh.
Sementara itu, bagi tahun 2025, ekonomi global dijangka mampan dengan keadaan pasaran pekerja yang positif, inflasi yang terus sederhana dan dasar monetari yang kurang ketat.
BNM turut menyatakan, bagi ekonomi Malaysia, pertumbuhan keseluruhan bagi 2024 berada pada kadar yang dijangkakan manakala kekukuhan kegiatan ekonomi dijangka berterusan pada 2025, didorong oleh perbelanjaan dalam negara yang berdaya tahan.
Pertumbuhan guna tenaga dan upah berserta langkah-langkah dasar termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam pula akan menyokong perbelanjaan isi rumah.
Dalam pada itu, Mohd Afzanizam menambah, berdasarkan kenyataan BNM dasar monetari dilihat masih menyokong pertumbuhan ekonomi.
"OPR merupakan tunggak utama dalam menentukan kadar pembiayaan dalam pelbagai sektor perniagaan tidak kira kecil atau besar.
"Jika OPR kekal dan stabil maka kos pembiayaan juga akan turut stabil dan ini lebih menguntungkan kepada pengguna dan rakyat,” katanya.