Takaful Malaysia catat hasil takaful RM3.78 bilion bagi tahun 2025

Iklan
Prestasi baik Takaful Malaysia didorong terutamanya oleh pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan pelaburan bersih.

SYARIKAT Takaful Malaysia Keluarga Berhad (Takaful Malaysia) merekodkan hasil takaful sebanyak RM3.78 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 meningkat RM201.7 juta daripada RM3.57 bilion yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Perintis dan peneraju industri takaful di Malaysia itu turut mencatat keuntungan sebelum zakat dan cukai tertinggi sebanyak RM616 juta berbanding RM574.9 juta pada tahun 2024.

Iklan
Iklan

Prestasi ini didorong terutamanya oleh pelepasan margin perkhidmatan kontraktual yang lebih tinggi serta peningkatan pendapatan pelaburan bersih.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Takaful Malaysia, Nor Azman Zainal berkata, prestasi syarikat bagi tahun 2025 memberikan gambaran jelas tentang strategi mantap serta kedudukan Takaful Malaysia sebagai peneraju pasaran.

Iklan

“Walaupun landskap ekonomi mencabar, kami secara konsisten melangkaui penanda aras industri melalui pelaksanaan yang disiplin serta portfolio yang seimbang.

“Pertumbuhan perniagaan ini bukan sekadar tentang angka semata-mata, ia merupakan bukti usaha berterusan kami dalam mencapai kecemerlangan operasi di samping komitmen untuk memberikan nilai mampan kepada pihak berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Tambah beliau, tahun kewangan 2025 menyerlahkan kekuatan perniagaan Takaful Malaysia yang pelbagai.

Pencapaian pelbagai segmen seperti segmen bankatakaful, perbendaharaan, manfaat pekerja dan perniagaan takaful am merupakan penyumbang utama kepada prestasi Kumpulan.

Berikutnya, permintaan pasaran menyaksikan kesedaran awam yang meningkat terhadap perlindungan kewangan serta lonjakan permintaan terhadap penyelesaian patuh Syariah.

Seterusnya, integrasi digital, pendekatan proaktif kumpulan yang mengutamakan digital telah meningkatkan operasi dan aksesibiliti pelanggan.

Melalui pelaksanaan strategi yang efektif, syarikat berupaya menangani cabaran pasaran sambil mengukuhkan kedudukan bagi penciptaan nilai jangka panjang, memastikan ia terus kekal di barisan hadapan dalam industri.

Melangkah ke hadapan, Takaful Malaysia komited memperkukuh komitmennya dalam memacu inovasi berorientasikan pelanggan, keupayaan digital serta integrasi aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Seterusnya, platform dan jenama digital kumpulan, Kaotim, terus menjadi pemangkin pertumbuhan syarikat.

Dengan memperluaskan penawaran perlindungan dalam talian, Kaotim berjaya menembusi pasaran runcit sekali gus melengkapkan kedudukan bankatakaful kumpulan yang sedia kukuh.

Nor Azman berkata, fokus bagi tahun 2026 adalah jelas iaitu keupayaan berdaya tahan dan pengembangan pasaran strategik melangkaui bankatakaful.

“Kami memacu usaha bagi mempelbagaikan saluran pengedaran serta pertumbuhan perniagaan.

“Dengan memanfaatkan kekuatan teras kami serta momentum platform digital dan strategi pengembangan pasaran, kami berada pada kedudukan yang baik untuk menghadapi cabaran masa hadapan dan terus menjana nilai mampan jangka panjang untuk pelanggan, rakan niaga dan pemegang saham kami,” katanya.