PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Dakwaan yang mengaitkan kematian Pakar Perubatan Patalogi di Hospital Lahad Datu, mendiang Dr Tay Tien Yaa ditindas pegawai atasan dan menghadapi beban tugas melampau adalah tidak berbangkit.
Sebaliknya Pengerusi Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat kematian itu, Tan Sri Borhan Dollah mendedahkan, Dr Tien Yaa bekerja sebagai satu pasukan yang baik, sentiasa berhubungan dan saling membantu dalam urusan kerja masing-masing.
"Kami merumuskan bahawa apa yang dikatakan selama ini bahawa Dr Tien Yaa ditindas, dizalimi dan juga dibuli oleh ketua jabatannya tidak berbangkit dalam isu ini," katanya menerusi sidang akhbar pada Rabu.
Menurut beliau, kaedah kualitatif dan kualitatif analisis digunakan sepanjang siasatan dijalankan melibatkan 19 saksi yang terdiri daripada empat ahli keluarga, 11 kakitangan hospital, orang yang diadu, dokumen dan rakaman video serta lawatan ke rumah sewa didiami mendiang.
Ujarnya, terdapat empat isu yang dibangkitkan oleh dua pengadu iaitu kakak dan adik mendiang dalam aduan berasingan iaitu emel pada 7 September 2024 dan 14 September tahun sama menerusi hantaran di laman Facebook.
Menyentuh mengenai isu mendiang dibebani tugasan di luar skop, Borhan menjelaskan siasatan mendapati tugasan yang dilakukan Dr Tien Yaa adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai dan bidang tugasnya.
"Tidak ada pun yang satu-satunya kita dapati bahawa tugas tugas di luar skop.
"Selaku Timbalan Ketua Jabatan I, mendiang waktu itu juga bertanggungjawab untuk menguruskan perolehan, menjaga stor dan sebagainya.
"Jadi kita nampak di situ bahawa tidak timbul sebarang isu berkaitan dengan kerja terlalu banyak, begitu juga dengan tugas di luar skop," katanya.
Beliau berkata, tiada bukti yang menyokong dakwaan kedua bahawa mendiang dirujuk sebagai pegawai perubatan bagi urusan di luar bidang.
"Kalau ada pun dalam tugasan 'on call' di mana semasa kita bertugas sebagai orang 'on call' kita kena menjawab semua soalan yang didatangkan dari pelbagai bidang.
"Bila-bila masa beliau boleh merujuk kepada rakan-rakan dalam bidang yang lain kerana mereka mempunyai grup chat masing-masing," kata Borhan.
Jelasnya, tuduhan yang menyatakan ketua jabatan tidak bertindak sebagai pemimpin, menindas dan menzalimi mendiang semasa bertugas juga tidak timbul.
"Kami dapati bahawa mereka bekerja secara profesional, ada grup chat dan perkara ini sentiasa dibuktikan daripada temu bual rakan, pegawai bawahan, pegawai perubatan dan sebagainya.
"Tidak terdapat sebarang insiden bahawa mendiang bertengkar dengan pegawai yang diadu serta sebagainya," kata beliau.
Siasatan yang dijalankan pasukan itu turut mendapati tiada sebarang rayuan dikemukakan oleh Dr Tien Yaa untuk mengekalkan beliau di Semenanjung sebagaimana didakwa.
"Jadi di situ kita nampak bahawa dakwaan dakwaan oleh ahli keluarga mendiang ini tidak berbangkit," katanya.
Sementara itu, Borhan menjelaskan pasukan petugas khas menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengambil tindakan segera untuk membantu pegawai dan kakitangan yang bertukar tempat terutamanya di tiga sektor iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, syor berkenaan telah dikemukakan kepada KKM dalam laporan tersebut.
"Apabila berseorangan dan sebagainya memang banyak cabaran.
"Kementerian perlu segera mengadakan program membantu pegawai dan kakitangan bertukar untuk cepat mengadaptasi dan menyesuaikan diri dengan keadaan semasa," katanya.
Dr Tien Yaa ditemukan mati dipercayai membunuh diri di rumah sewa yang didiami beliau lada 29 Ogos tahun lalu.