Wanita bersama anak kecil antara 14 PATI ditahan berhimpit dalam bot pancing

Iklan
Antara PATI yang ditahan

PASIR PUTEH - Seorang wanita bersama anak lelakinya berusia setahun lapan bulan antara 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Kelantan, Isnin lalu.

Kesemua mereka dibawa oleh seorang tekong melalui Sungai Kuala Besar dengan menaiki bot fiber yang digunakan untuk memancing bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Iklan
Iklan

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata, penahanan kesemua mereka berjaya selepas kira-kira 40 minit anggotanya mengejar bot terbabit.

Erwan Shah menunjukkan lokasi laluan bot fiber yang membawa PATI.

"Tangkapan dilakukan pada jam 11.40 malam ketika pegawai dan anggota Maritim sedang melaksanakan rondaan di perairan Malaysia-Thailand dalam Op Naga Barat, Op Damai dan Op Tiris.

Iklan

"Bot telah diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima maklumat risikan sebelum mengesan sebuah bot fiber berwarna putih bergerak dalam keadaan mencurigakan," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Menurut Erwan Shah, pemeriksaan di dalam bot mendapati dua beranak itu berhimpit bersama tiga lagi wanita dan sembilan lelaki yang kesemuanya berusia dalam lingkungan 18 hingga 30 tahun.

Iklan

Jelas beliau, lapan daripada mereka mempunyai pengenalan diri yang meragukan, manakala enam lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

"Bot bersama PATI kemudiannya diiringi ke Jeti Maritim untuk tindakan lanjut namun keadaan laut yang bergelora menyukarkan proses berkenaan sehingga mengambil masa lebih dua jam sebelum tiba di lokasi pada jam 2 pagi Isnin," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, tekong bot fiber terbabit melarikan diri melalui kawasan semak berhampiran sebaik sahaja melihat bot Maritim.

Erwan Shah berkata, kesemua PATI itu disyaki akan dibawa ke negeri lain dan Kelantan hanya sebagai transit sebelum ada pihak lain yang menguruskan mereka.

"Kita juga masih dalam siasatan lanjut berkemungkinan mereka datang ke sini untuk tujuan diperlukan sebagai pekerja atau pemerdagangan manusia," katanya.

Katanya lagi, kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 26(J) ATIPSOM 2007 iaitu mengangkut migran yang diseludup dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.