Noktahkan segera isu salah guna sijil halal

Iklan
Demi kemaslahatan umat Islam dan ekonomi negara, kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan logo dan sijil halal.

ISU sandwic ‘ham & cheese’ yang tiada sijil halal dan dijual di sebuah premis di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini jelas menunjukkan ada pihak tidak sensitif dan seolah-olah sengaja menyalahgunakan logo halal untuk mengaburi mata pengguna demi mengaut ke-untungan.

Logo halal yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sangat penting bagi mengesahkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang disediakan memenuhi piawaian halal yang ditetapkan syarak.

Iklan
Iklan

Dalam isu tersebut, penggunaan logo halal itu dibongkar bertitik tolak daripada aduan yang awalnya dibuat berhubung penjualan sandwic diragui status halal kerana disyaki mengandungi bahan daripada babi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar telah tampil menjelaskan bahawa berdasarkan pemeriksaan Jakim, produk tersebut tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dan syarikat yang menghasilkan produk itu juga bukan pemegang SPHM.

Iklan

Tindakan mencetak logo halal pada label produk berkenaan jelas satu kesalahan dan tindakan undang-undang telah pun diambil ke atas pihak terlibat.

Bagaimanapun, difahamkan pihak pengeluar produk yang mencetuskan kontroversi itu telah tampil mengesahkan kepingan daging ayam yang digunakan dalam pembuatan sandwic tersebut mempunyai sijil halal sah daripada pihak Jakim.

Iklan

Orang ramai pasti menunggu perkembangannya, namun hakikatnya tidak boleh dinafikan isu penyalahgunaan logo halal masih berlaku.

Ia masih dipandang mudah oleh segelintir pihak walaupun terdapat peruntukan undang-undang khusus dalam perkara tersebut.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 misalnya, pihak yang menggunakan dan mempamerkan sijil halal di premis perniagaan tanpa kebenaran boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun, atau kedua-duanya bagi individu. Hukuman bagi pertubuhan perbadanan pula denda sehingga RM250,000.

Berdasarkan jawapan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh semasa sidang Dewan Rakyat pada Disember tahun lalu, sebanyak 56 kes penipuan logo dan pensijilan halal dilaporkan dengan nilai rampasan berjumlah RM1.813 juta.

Kemungkinan ada lagi kes melibatkan penipuan penggunaan logo halal pada produk di pasaran yang belum dikesan atau didedahkan.

Oleh itu, sewajarnya isu penyalahgunaan logo halal diberikan perhatian dan diperhalusi kerana ia bukan semata-mata berkaitan jaminan keselamatan serta kesucian produk, sebaliknya ia amat sensitif dan boleh mencetus polemik lebih besar.

Penulis bimbang jika isu sensitif ini terus dibiarkan boleh membawa kepada ketidakselesaan dan kemarahan sesetengah pihak terutama orang Islam, seterusnya mencetus ketegangan dalam kalangan masyarakat.

Apatah lagi, jika kesalahan tersebut dilakukan secara sengaja dengan niat dan kepentingan tertentu.

Penulis setuju dengan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang tampil mendesak polis menyiasat penjualan ‘sandwic ham’ mempunyai logo halal di UM itu.

Sebagai pemimpin, sudah menjadi tanggungjawab beliau untuk berada di barisan hadapan bersuara mempertahankan perkara yang melibatkan kepentingan Islam.

Selain itu, penulis juga tertarik dengan kenyataan Bendahari Agung Fomca, Nur Asyikin Aminuddin seperti dilaporkan media baru-baru ini.

Katanya, insiden pihak tertentu menyalahgunakan logo dan sijil halal menunjukkan ada kelemahan dalam ekosistem SPHM sehingga boleh dimanipulasi.

Beliau juga berpandangan penalti agak rendah dan penguatkuasaan tidak ketat menyebabkan ada pihak memandang perkara itu sebelah mata, malah tidak khuatir dengan hukuman yang dikenakan.

Justeru, demi kemaslahatan umat Islam dan ekonomi negara, kita tidak boleh berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati menyalahgunakan logo dan sijil halal demi kepentingan sendiri.

Ia bukan sahaja mencemarkan keyakinan pengguna Islam terhadap kredibiliti dan integriti logo serta Institusi halal di negara ini, bahkan boleh menjejaskan reputasi Malaysia sebagai peneraju global dalam industri halal.

* Nik Amirulmu’Min Nik Min ialah Ketua Wartawan Sinar Harian Pahang