Op Sky beku RM22 juta babit 98 akaun syarikat, 21 individu

Iklan
Ahmad Khusairi. Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membekukan RM22 juta aset membabitkan 98 akaun syarikat dan individu membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, 21 individu ditahan setakat ini membabitkan kakitangan sebuah syarikat, 12 pegawai bank dan seorang awam.

Iklan
Iklan

Katanya, SPRM perlu siasat secara terperinci kerana ia melibatkan individu daripada pelbagai agensi bank.

"Sindiket ini menggunakan lima ke enam bank yang beroperasi di Malaysia dengan pinjaman berjumlah kira-kira RM700 juta.

Iklan

"Namun kita tidak boleh mengatakan bahawa ia satu bentuk kerugian kerana kita sedang buat analisis dan mendapatkan keterangan (lanjut)," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Selasa.

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pelaksanaan Ops Sky dilaksanakan secara terperinci berikutan ia membabitkan wang orang ramai.

Iklan

Jelas Azam, pihaknya sedang melaksanakan analisis dan mendapatkan keterangan berapa wang rasuah yang terlibat dalam kes ini.

"Ini satu tugas pegawai penyiasat untuk buktikan isu rasuah," ujarnya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan sebanyak 4,000 dokumen dirampas bagi membantu siasatan selepas RM700 juta pinjaman diluluskan kepada penjawat awam membabitkan kegiatan sindiket rasuah dan pengubahan wang haram dalam kalangan pegawai bank dan organisasi perunding kewangan.

Ia susulan SPRM menumpaskan sindiket kegiatan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan dan institusi kewangan susulan penahanan 12 individu di sekitar Lembah Klang.

Kesemua suspek termasuk dua wanita berusia antara 20 hingga 40-an itu ditahan dalam serbuan Op Sky di 24 lokasi termasuk rumah dan pejabat di sekitar Lembah Klang pada 13 Januari lalu.

Mereka yang ditahan termasuk dua pengarah syarikat perunding kewangan, masing-masing seorang pengarah yayasan, pengurus dan bekas pengurus jualan institusi perbankan.