Perjanjian gencatan senjata dicapai antara kerajaan Myanmar, kumpulan bersenjata Kokang

Iklan
Ketua junta Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing yang menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui rampasan kuasa pada 1 Februari, mengetuai perarakan tentera sempena Hari Angkatan Tentera di Naypyitaw, Myanmar pada 27 Mac 2021. Foto Reuters

BEIJING - Kerajaan Myanmar dan Tentera Perikatan Demokratik Kebangsaan Myanmar (MNDAA) Kokang telah mencapai dan menandatangani perjanjian gencatan senjata rasmi yang berkuat kuasa pada 18 Januari, lapor Xinhua.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata di bawah pengantaraan China, kerajaan Myanmar dan MNDAA telah mengadakan rundingan damai pusingan ketujuh di Kunming, Wilayah Yunnan, China pada pertengahan Januari, dan kedua-dua pihak melahirkan rasa terima kasih atas usaha China dalam menjayakan hasil rundingan itu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, meredakan ketegangan di utara Myanmar adalah demi kepentingan bersama pelbagai pihak di Myanmar dan negara serantau, serta akan menyumbang kepada keselamatan, kestabilan dan pembangunan di kawasan sempadan China-Myanmar.

"China dan Myanmar adalah jiran yang mesra, dan China dengan tegas menentang sebarang konflik atau pergolakan di Myanmar," katanya pada sidang media Isnin.

Iklan

Mao berkata, adalah diharapkan semua pihak akan mengekalkan momentum gencatan senjata dan rundingan damai, bersungguh-sungguh melaksanakan konsensus yang dicapai, meredakan ketegangan secara proaktif dan menyelesaikan isu berkaitan melalui dialog dan rundingan selanjutnya.

Menurut Mao, China akan menyokong dengan tegas usaha Myanmar untuk mempertahankan kemerdekaan, kedaulatan, perpaduan negara dan integriti wilayah, menyokong usaha untuk memastikan keamanan, kestabilan dan pembangunan ekonomi, serta menyokong teguh usaha Myanmar untuk mencapai perdamaian politik dan memajukan agenda politik domestiknya dalam rangka kerja perlembagaan.

Iklan

"China akan terus secara aktif mempromosikan rundingan damai dan memberikan sokongan serta bantuan untuk proses damai di utara Myanmar," katanya. - Bernama-Xinhua