SHAH ALAM - Penglibatan wanita dalam bidang pekerjaan termasuk profesional dan sektor ekonomi di Selangor mencecah sehingga 56 peratus pada 2023.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, setiap tahun angka tersebut terus menunjukkan peningkatan kira-kira dua peratus dan secara tidak langsung membuktikan usaha memberdaya jantina yang dilaksana negeri itu berkesan.
"Sebahagiannya adalah daripada keperluan untuk bekerja dan selebihnya dalam bidang profesional. Kalau kita lihat hari ini, ada sebahagian (dalam pentadbiran) wanita dilantik ketua jabatan seperti yang dipertua, datuk bandar serta pegawai daerah.
"Ini adalah manifestasi dan sangat konsisten yang kita lakukan sejak 2008. Kita mulakan dengan program pengaruh perdana gender supaya tak ada persepsi dan stigma berkenaan wanita dalam membuat keputusan.
"Ini nampaknya telah mula diterima dengan baik dan apa yang penting, kita perbanyakkan lagi dan dapat menyedarkan sebahagian besar masyarakat untuk terlibat bersama-sama dalam aktiviti dan program yang dianjurkan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Wanita Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Wanita Berdaya Selangor (WBS) menerusi kenyataan memaklumkan, majlis berkenaan mengumpulkan kira-kira 1,000 pemimpin wanita dari pelbagai latar belakang agama, budaya, pendidikan, dan sosioekonomi.
Menurutnya, penganjuran program itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada pihak yang terlibat secara langsung dalam program pemberdayaan wanita anjuran agensi tersebut.
"Program ini juga menjadi platform menghargai usaha dan inisiatif kerajaan negeri dalam memperkasa wanita Selangor serta membangkitkan semangat kepada penggerak untuk terus memberikan khidmat cemerlang,” ujarnya.