Sokong hasrat MBI larang jual arak di kawasan majoriti Muslim

Iklan
Hafez (dua dari kiri) ketika merasmikan Karnival Surau Raja Hairani 2025 di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Ahad.

Iklan
Iklan

IPOH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam wajar mempertahankan hasrat Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk memperluaskan larangan penjualan minuman keras ke kawasan majoriti penduduk Islam di Ipoh.

ADUN Manjoi, Hafez Sabri berkata, hasrat murni itu perlu dipertahankan oleh semua penduduk beragama Islam di bandar raya ini kerana ia memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Iklan

Jelasnya, keputusan yang diumumkan oleh pihak MBI itu sudah pasti mengambil kira peruntukan undang-undang sedia ada sebelum ia dilaksanakan.

"Kita amat menyambut baik perkara tersebut dan sebagai ADUN beragama Islam sudah tentulah kita menyokong penuh hasrat MBI itu.

Iklan

"Kita yakin perkara yang diumumkan itu tidak melanggar undang-undang dan harus diterima semua pihak.

"Sekiranya ada pihak yang cuba menentang pelaksanaan larangan penjualan arak itu, saya yakin penduduk di kawasan berkenaan akan bersama-sama mempertahankannya MBI," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Surau Raja Hairani 2025 di Taman Meru Perdana 2 di sini pada Ahad.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi Surau Raja Hairani, Ariffin Shariff.

Karnival yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang itu menampilkan sebanyak 13 pempamer daripada pelbagai agensi serta 20 gerai jualan selain pelbagai aktiviti disediakan kepada kira-kira 1,000 pengunjung yang hadir.

Sementara itu, warga bandar raya Ipoh yang ditemui menyambut baik langkah MBI untuk meluaskan lagi larangan penjualan minuman keras di kawasan-kawasan majoriti penduduk Islam.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Meru Perdana 2, Mohd Nazri Mohd Ariff berkata, hasrat MBI itu amat dipersetujui kerana ia memberi manfaat kepada masyarakat setempat khususnya kawasan penduduk beragama Islam.

Mohd Nazri

Jelasnya, komuniti di kawasan Meru Perdana di sini juga sudah melaksanakan perkara tersebut melalui serahan memorandum bantahan penjualan minuman keras kepada beberapa syarikat kedai serbaneka.

"Sebelum wujudnya beberapa kedai serbaneka di kawasan ini, kita kesan ada orang luar yang minum arak di taman permainan di sini berdasarkan botol-botol yang ditinggalkan.

"Bimbang dengan keadaan itu, penduduk sepakat untuk menghantar memorandum bantahan penjualan arak di kedai-kedai serbaneka yang akan dibuka di kawasan ini dan mereka akur dengan permintaan permintaan penduduk," katanya.

Bagi seorang penduduk, Nur Najmi Sharir Zaaba, 42, walaupun arak tidak dijual di kedai-kedai serbaneka sekitar kawasan Meru Perdana di sini, jualan mereka tidak terjejas.

Nur Najmi

Menurutnya, penduduk setempat mahu kawasan mereka bebas daripada arak kerana ia tidak membawa sebarang manfaat kepada komuniti malah memberi kesan buruk kepada anak muda jika jualan minuman keras dibenarkan.

Dalam pada itu, Pengerusi Kelab Al-Fateh, Mohamad Nazrin Abdul Nasir berkata, anak muda Islam di bandar raya ini menyokong penuh hasrat MBI tersebut.

Mohamad Nazrin

"Kita memandang perkara ini sebagai satu langkah yang positif kerana ia dapat menjaga keharmonian di antara kaum yang ada terutama di kawasan majoriti muslim.

"Langkah ini juga dapat menjaga keselamatan dan sosial anak-anak muda supaya mereka tidak terjebak dengan perkara yang tidak diingini," katanya.

Pada 18 Januari lalu, media melaporkan MBI akan memperluaskan pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras oleh premis di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dilaksanakan di Gugusan Manjoi di sini sebelum ini.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.

Menurutnya, sekitar tahun 2020 dan 2021, larangan penjualan minuman keras itu sudah dilaksanakan di kawasan Gugusan Manjoi susulan bantahan besar-besaran oleh penduduk setempat.