Wanita meninggal dunia dalam tidur

Iklan
Norhaidah (dua dari kiri) dan Hirwan (kiri) meraikan kejayaan Hazim (tengah) yang terpilih menerima anugerah cemerlang kokurikulum SK Seri Makmur pada Khamis.

SABAK BERNAM - Hanya dua hari selepas meraikan kejayaan anak yang menerima anugerah kecemerlangan kokurikulum di sekolah, seorang wanita dijemput Ilahi semasa sedang tidur di rumahnya di Taman Perdana Sungai Besar di sini, pada pagi Ahad.

Norhaida Ahbar, 45, disedari tidak bernyawa oleh anak perempuannya, Nurien Hadira Hirwan, 18, semasa ingin mengejutkannya kira-kira jam 6.15 pagi.

Iklan
Iklan

Suaminya, Hirwan Mohd Bani, 46, berkata, Allahyarham kelihatan gembira dan ceria semasa menghadiri majlis anugerah cemerlang anak mereka, Hazim Hakimi Hirwan, 13, di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Makmur, Sungai Besar pada Khamis lalu.

"Dari raut wajah isteri tak nampak sebarang petanda arwah akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya, tetapi kami reda dengan ketentuan-Nya. Namun jauh di sudut hati kehilangannya amat dirasai," katanya ketika ditemui di kediamannya pada Isnin..

Iklan
Hirwan (dua dari kanan) bersama tiga anaknya iaitu Hazim (kanan) dan Nurien (kiri) serta Hazim Haiqal, 20, (dua dari kiri) di rumah mereka di Taman Perdana Sungai Besar di sini pada Isnin.

Menurutnya, Allahyarham yang bekerja di Unit Pendidikan Islam Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Sabak Bernam juga sempat meraikan kejayaan Hazim dengan menghadiahkan anak bongsu daripada tiga beradik itu sepasang but futsal.

"Arwah pada petang Khamis terus mengajak saya ke Teluk Intan, untuk membeli but futsal.

Iklan

"Isteri beritahu, but yang dibeli ini hadiah kepada Hazim dan boleh digunakan semasa perlawanan futsal Sabtu depan, tapi tak sangka arwah sudah tiada.

"Arwah berbangga dengan pencapaian Hazim yang juga pernah menerima anugerah olahragawan daerah Sabak Bernam 2023," ujarnya.

Menceritakan kejadian itu, Hirwan memberitahu, kebiasaannya Allahyarham isterinya itu bangun lebih awal dan mengejutkannya serta anak-anak.

Bagaimanapun, semasa kejadian, Allahyarham yang tidur bersama Nurien Hadira tiba-tiba tidak sedarkan diri.

"Nurien cepat-cepat kejutkan saya di bilik berasingan dan saya dapati isteri sudah meninggal dunia," ujarnya.

Menurut Hirwan, Allahyarham tidak mempunyai sejarah penyakit selain hanya mengalami migrain dan sakit perut pada malam sebelum kejadian.

Katanya, sehari sebelum kejadian, Allahyarham juga sempat menghadiri rewang untuk majlis persiapan perkahwinan yang dijadualkan pada Ahad di rumah sepupunya di Sekinchan.

"Sebelum tidur, arwah sempat mengambil ubat sakit perut dan berehat di bilik anak.

"Biasanya jika arwah tidak sihat dia akan tidur dengan anak-anak, namun ALLAH lebih menyayanginya," jelasnya.

Menurut Hirwan, jenazah Allahyarham isterinya itu dibawa ke Hospital Sabak Bernam untuk dibedah siasat.

"Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau pada jam 5 petang Ahad," katanya.