Pemangkin perkongsian strategik selesai cabaran keselamatan

Iklan
Saifuddin (lima dari kiri) ketika meninjau persiapan akhir AISSE’25 di PICC Putrajaya pada Ahad.
PUTRAJAYA - Ekspo dan Sidang Kemuncak Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE’25) anjuran Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang bermula hari ini bukan sekadar pameran tetapi pemangkin kepada perkongsian strategik antara kerajaan dan industri dalam penyelesaian cabaran keselamatan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, acara antarabangsa itu memberikan fokus kepada penyelesaian keselamatan dalam bidang seperti keselamatan siber, teknologi pemantauan canggih dan peralatan ketenteraan yang bukan sahaja memperkukuhkan keselamatan tetapi juga memacu pertumkdnbuhan ekonomi.

"AISSE’25 bukan sekadar sebuah acara tetapi ia merupakan satu inisiatif strategik yang mendukung tujuan meletakkan Malaysia sebagai pusat inovasi keselamatan, kerjasama dan kepimpinan.

"KDN menerajui acara ini dengan mengangkat tema Asia United: Charting the Future of Global Peace and Security through Law Enforcement Collaboration yang mencerminkan aspirasi kementerian untuk perpaduan, kerjasama dan pembangunan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas meninjau persediaan akhir AISSE’25 pada program Media Walkabout di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada Ahad.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

AISSE’25 yang merupakan acara antarabangsa pembuka tirai KDN tahun ini dijadualkan berlangsung selama tiga hari dan berakhir pada Rabu.

SAIFUDDIN
Iklan
Iklan
Iklan
Iklan


Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, perkongsian strategik antara kerajaan dan industri dapat dilakukan kerana acara tersebut menggumpulkan pemain industri terkemuka serata negara dan pakar-pakar dalam bidang keselamatan yang seterusnya menjadi satu prospek kerjasama antara negara dengan negara.

Tambah beliau, AISSE’25 disertai lebih 300 syarikat dari 48 negara yang merangkumi jenama terkemuka seperti Barzan Holdings, BlackBerry, Aetos & Dron, Systems Consultancy Services, Samsung, Elmu E, Dahua Technology and U Mobile.

Menurut Saifuddin, acara tersebut turut menampilkan sebanyak 109 syarikat tempatan dan 212 syarikat antarabangsa yang mempamerkan teknologi terkini dalam keselamatan.

"Dengan anggaran kehadiran 5,000 pelawat perdagangan dan 1,000 peserta seminar, AISSE’25 merupakan platform strategik yang mengumpulkan pelbagai pihak daripada keselamatan siber, keselamatan awam dan teknologi pemantauan pintar.

"Tambahan pula, acara ini akan menerima seramai 60 delegasi antarabangsa dan 500 perwakilan tempatan, termasuk menteri-menteri ASEAN dan pemimpin global,” ujarnya.

36 persidangan

Saifuddin (tengah) melakukan tinjauan persiapan akhir AISSE'25 dengan diiringi Ayob Khan (kanan).


Saifuddin memaklumkan, antara program utama dirangka sempena AISSE’25 ialah Ministerial Roundtable dan Ministerial Keynote and Fireside Chat yang menjadi landasan untuk memperkukuhkan hubungan antara pemimpin kerajaan dan sektor keselamatan global.

Beliau berkata, Ministerial Roundtable akan menyediakan platform perbincangan berimpak tinggi untuk menangani ancaman seperti keselamatan siber dan teknologi baharu.

Ujarnya, AISSE’25 melibatkan sebanyak 36 sesi persidangan termasuk forum, ucaptama, Fireside Chat dan bengkel yang menampilkan para penceramah berprofil tinggi."Untuk 36 persidangan yang akan berlangsung serentak, sudah tentu ‘khazanah ilmu’ dan maklumat yang mereka bawa berkenaan sangat ‘mahal harganya’.

"Sebab itu KDN akan melihat kepada hasilnya nanti. Daripada butiran idea yang akan dibentangkan, kalau ia misalnya mengenai perlunya memperbaiki dasar (keselamatan) yang sedia ada dalam negara, kita juga boleh bertanya apa elemen baharu yang kita dapat pelajari,” jelasnya.

Selain itu, Saifuddin berkata, Demonstrasi Produk dan Penyelesaian Teknologi daripada pempamer akan mempamerkan inovasi terkini dalam keselamatan termasuk produk dan penyelesaian teknikal yang dirancang untuk menangani cabaran keselamatan moden.

Justeru, Saifuddin mengalu-alukan semua pihak menyertai AISSE’25 dan mereka yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara tersebut boleh melayari laman web rasmi www. aisse.my.

INFO AISSE'25

-Disertai 48 negara

-Melibatkan 321 syarikat

-Disokong oleh 12 agensi keselamatan

-Sasar 5,000 kehadiran pelawat perdagangan dan 1,000 peserta seminar -Seramai 92 penceramah dan moderator akan turut mengambil bahagian