Bina semangat, budaya sifar rasuah dengan KIAR

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Muhammad Haziq Sabri.

SHAH ALAM - Pelaksanaan Kursus Integriti Anti-Rasuah (KIAR) yang telah diwajibkan di Universiti Teknologi MARA (UiTM) perlu diperkukuh dan diperluaskan lagi bagi memupuk semangat antirasuah dalam kalangan generasi muda.

Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UiTM, Muhammad Haziq Sabri berkata, melalui kursus ini, pelajar akan didedahkan kepada undang-undang tersebut kepentingan integriti serta contoh kes sebenar berkaitan rasuah mampu membina budaya sifar toleransi terhadap rasuah dalam kalangan golongan berkenaan.

Iklan
Iklan

"Selain itu, kerjasama dengan Institut Integriti Malaysia (IIM) boleh memperkasa program anti-rasuah melalui modul latihan khas, sesi perkongsian pengalaman dan penyelidikan kesan rasuah.

"Kehadiran IIM di kampus bukan sahaja menambah nilai profesional tetapi juga mendedahkan pelajar kepada usaha integriti di peringkat kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Pada Sabtu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa generasi baharu dan muda Malaysia perlu mempunyai keberanian untuk menolak rasuah, perkauman dan ekstremisme agama.

Tambah Anwar, meskipun Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan aman, terdapat pihak yang cuba memecahbelahkan negara dengan ekstremisme perkauman dan agama.

Iklan

Justeru, golongan belia perlu ada keberanian untuk mengatakan tidak kepada rasuah dan ketaasuban agama.

Terdahulu, UiTM mengumumkan pelaksanaan KIAR membabitkan lebih 4,000 penuntut semester tiga tahun 2024 di universiti berkenaan.

KIAR diperkukuh menjadi salah satu Mata Pelajaran Pengajian Umum (MPU) bermula dengan kemasukan pelajar semester satu sesi 2023/2024 di UiTM.

Mengulas tentang tanggungjawab dan peranan pelajar UiTM dalam memerangi rasuah, Muhammad Haziq berpandangan, mereka perlu berani melaporkan sebarang salah laku rasuah melalui saluran yang sah.

"Di Malaysia, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 memberi perlindungan kepada pemberi maklumat daripada tindak balas seperti pemecatan, ancaman atau diskriminasi, sekali gus memastikan keselamatan dan kerahsiaan identiti mereka.

"Pelajar juga boleh menggunakan platform yang disediakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk laman web dan aplikasi untuk melaporkan kes-kes rasuah secara telus. Tindakan ini menunjukkan bahawa belia bersedia menjadi agen perubahan dalam membanteras rasuah,” katanya.

Tambahnya, pendidikan memainkan peranan penting dalam membentuk sikap anti-rasuah dengan meningkatkan kesedaran belia mengenai kesan buruk rasuah terhadap masyarakat dan negara.

"Melalui pendidikan, nilai-nilai seperti integriti, kejujuran dan akauntabiliti dapat diterapkan untuk membentuk generasi beretika tinggi. Pada masa sama, ia juga memberi pengetahuan tentang tanggungjawab mereka sebagai warganegara yang berperanan memerangi rasuah.

"Seterusnya, pendidikan melatih pemikiran kritis, membantu belia mengenali serta menolak rasuah secara bijak. Oleh itu, ia merupakan asas penting dalam melahirkan generasi yang bermoral tinggi dan berintegriti,” kata Muhammad Haziq.