KEMAMAN - Isteri kepada lelaki orang kurang upaya (OKU) yang dipukul beramai-ramai dalam kejadian di Pasar Tani, Padang Astaka Chukai, di sini pada Jumaat lalu meluahkan rasa kesal atas kejadian menimpa suaminya itu.
Faridah Abdul Karim, 44, berkata, dia tidak pernah menyangka kejadian seumpama itu menimpa suaminya, Ahmad Nor Al Faizan Jusoh, 47.
Menurutnya, tindakan sekumpulan lelaki bertindak memukul dan menyepak suaminya disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan dan berhati perut.
"Saya sebak, hati saya hancur sebaik melihat video tular suami saya dipukul, disebak dan diheret serta dicurahkan mi goreng pada kepalanya.
"Saya tak bolah bayang apa perasaan mereka waktu itu sedangkan suami saya beberapa kali memohon maaf atas kesalahan dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Mak Chili, di sini, pada Ahad.
Ketika ditemui, Faridah bersama ahli keluarganya menerima kunjungan Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd Fadini Rahim.
Dalam kunjungan itu, Faridah dan anak-anaknya sempat berbual dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menerusi panggilan video.
Akmal turut menyatakan komitmen pergerakan itu bagi memastikan mangsa mendapat keadilan dan pelaku mendapat hukuman setimpal.
"Suami saya sudah berulang kali memohon maaf, namun mereka tetap memukulnya malah ketika suami saya minta diberikan air untuk membasuh matanya yang pedih, dia sekali lagi disepak di bahagian kepala.
"Kenapa layan suami saya begitu, dia juga manusia seperti orang lain dan bukannya haiwan," luahnya.
Ibu kepada lima anak itu berkata, insiden suaminya melanggar gerai makanan itu sepatutnya diselesaikan dengan cara baik.
"Kalau benar suami saya bersalah dan sengaja langgar, kami akan kami bayar ganti rugi kerugian yang dialami peniaga di situ, Insya-ALLAH kami boleh ganti.
"Tapi tak perlulah layan suami saya seteruk itu. Sepanjang 25 tahun saya berkahwin dia tidak pernah meninggalkan solat dan sering ke surau untuk berjemaah.
"Suami saya selalu solat. Walaupun dia sakit, dia tetap solat. Dia tak pukul orang, hanya mulutnya yang lantang. Kalau hari kejadian tu mereka beritahu nak panggil polis, pasti dia akan takut. Kalau ikat dia bawa pergi balai pun, kes boleh diselesaikan dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, Faridah turut berterima kasih kepada beberapa individu yang bertindak menghalang suaminya daripada terus dipukul.
"Saya turut berterima kasih kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang sudi menawarkan khidmat guaman percuma untuk keluarganya mendapat keadilan," ujarnya.