SAYA amat teruja dengan perbincangan isu etika di Indonesia sekarang. Baik di podcast, bicara TV dan radio, juga di akhbar dan media sosial, perdebatan tentang etika memenuhi ruang. Saya mengagumi pelbagai isu yang diberikan komentar dari perspektif etika.
Perbahasan tentang isu etika mula memanas apabila Mahkamah Konstitusi (MK) negara itu memutuskan untuk menurunkan ambang usia calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (cawapres) bagi Pilihanraya Presiden (Pilpres) 2024.
Keputusan MK itu membangkitkan kemarahan rakyat selain perdebatan hebat dalam kalangan para wartawan, anggota badan bukan kerajaan, pimpinan masyarakat sivil, budayawan dan netizen.
Dengan keputusan MK itu, anak sulung Presiden Joko Widodo (Jokowi) yang berusia 36 tahun ketika itu dibolehkan menjadi cawapres.
Bagi banyak pihak, ini merupakan manipulasi yang dilakukan oleh Jokowi. Lebih ketara lagi Ketua MK ketika itu adalah Anwar Usman, adik ipar Jokowi sendiri.
Majlis Kehormat Mahkamah Konstitusi (MKMK) bersidang lalu menyingkirkan Anwar dari kedudukannya. Alasannya Anwar ‘melakukan pelanggaran etika’.
Sesetengah pihak menganggap Pilpres 2024 paling brutal dan kotor dalam sejarah negara itu. Tiga orang capres yang bertanding adalah Prabowo Subianto, Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo.
Dalam Pilpres kali ini, isu etika banyak sekali dibahaskan, khususnya yang membabitkan Jokowi, presiden ketika itu. Beliau dikatakan cawe-cawe (campur tangan) dan menggunakan kemudahan kerajaan untuk memenangkan pasangan calon (paslon) Prabowo dan anaknya, Gibran Rakabuming Raka.
Penggunaan bantuan sosial (bansos) dan sembilan bahan pokok (sembako) secara berleluasa oleh Jokowi juga mendapat bantahan dari kem dua calon lain.
Jokowi juga dikatakan menggunakan aparat (badan pemerintah) termasuk kepolisian bagi memenangkan Prabowo-Gibran.
Sebahagian daripada tuduhan utama yang dilontarkan oleh dokumentari berjudul Dirty Vote menjelang tarikh pengundian (pencoblosan) oleh beberapa orang pakar tatanegara adalah tentang soal pelanggaran etika.
Malah apabila Anies dan Ganjar tewas di Pilpres, mereka telah mengajukan kes mereka (sengketa Pilpres) untuk pertimbangan MK.
Salah satu isu yang mereka bangkitkan adalah soal etika berkempen, yang membabitkan Jokowi sendiri. Malah tiga orang hakim yang menyokong bantahan itu (menjadikan mereka tidak bersetuju dengan suara majoriti) membangkitkan soal etika para penguasa.
Semasa Pilihan Raya Daerah (Pilkada) yang diadakan November lalu, sekali lagi isu etika berkumandang. Jokowi walaupun bukan lagi presiden dikatakan aktif berkempen untuk memenangkan beberapa orang calon gubernur khususnya di Jawa Tengah dan Jakarta.
Prabowo sendiri yang pada mulanya membuat kenyataan tidak akan campur tangan dalam Pilkada didapati membuat video menyokong calon gubernur di Jawa Tengah dan mengeluarkan surat bagi menyokong calon pilihan partinya untuk gubernur Jakarta. Sekali lagi isu etika berkumandang.
Paling menarik tentunya kes yang membabitkan seorang tokoh pendakwah popular yang menamakan dirinya Gus Miftah Habiburrahman.
Mungkin disebabkan oleh popularitinya, Prabowo melantik beliau sebagai Utusan Khas Presiden dalam Hal Ehwal Kerukunan Beragama dan Pembinaan Sarana Keagamaan. Jawatan ini bertaraf menteri.
Dalam satu majlis ceramah di Magelang, Jawa Tengah pada 25 November lepas, Gus Miftah telah menghina seorang penjual teh ais. Video itu menjadi tular dan beliau menjadi mangsa serangan para netizen selain pelbagai pihak lain.
Perihal etika beliau dipersoalkan. Tidak sepatutnya seseorang pada kedudukan itu menghina orang miskin, apa lagi yang mencari nafkah dalam majlis seperti itu. Beliau telah melepaskan jawatannya.
Korupsi
Baru-baru ini Jokowi dicalonkan oleh The Organized Crime and Corruption Reporting Project (OCCRP) sebagai salah seorang daripada lima orang yang terkorup di dunia bagi tahun 2024. Pencalonan itu tentunya memeranjatkan rakyat Indonesia.
Selain daripada Jokowi, tokoh lain yang dicalonkan adalah mantan Presiden Syria, Bashar Al-Asad; Presiden Kenya, William Ruto; Presiden Nigeria, Bola Ahmed Tinubu; mantan Perdana Menteri Bangladesh, Syeikh Hasina Wazed dan tokoh perniagaan India, Gautam Adani.
Apakah alasan OCCRP menamakan beliau? Jokowi adalah presiden yang sangat popular dalam kalangan rakyat Indonesia. Beliau sentiasa memperoleh 80 peratus approval rating dalam setiap tinjauan.
Beliau dilihat presiden yang bersahaja, berpakaian murah, mesra rakyat dan sentiasa mendampingi masyarakat.
Tetapi di luar daripada sosok yang popular itu banyak pihak menganggap beliau bertanggungjawab melemahkan demokrasi, cuba mengembalikan Indonesia pada era sebelum reformasi, membina dinasti keluarga dalam politik dan paling penting menyebabkan Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) yang sangat ditakuti satu masa dulu hilang taringnya.
Maka, debat mengenai apa yang dilakukan oleh Jokowi lalu memungkinkan beliau dicalonkan oleh OCCRP menjadi topik hangat.
Banyak pihak mahu beliau diadili kerana ‘dosa-dosanya’ selama 10 tahun menerajui Indonesia. Sekali lagi soal etika Jokowi menjadi perbahasan.
Apa yang lebih penting adalah Jokowi masih dikatakan berpengaruh dalam pentadbiran Prabowo. Mungkin benar bahawa Prabowo terhutang budi pada Jokowi kerana memenangkannya dalam Pilpres.
Perlu diingat Prabowo seorang yang punya personaliti yang kuat. Maka itu banyak pihak berasa hairan mengapa Prabowo harus mengekalkan sebahagian besar anggota Kabinet Jokowi. Dan lebih penting lagi membenarkan persepsi bahawa Jokowi masih punya pengaruh di Pejabat Kejaksaan, KPK dan kepolisian.
Saya berharap kita juga akan memulakan debat mengenai soal etika ini secara meluas. Saya percaya kerajaan mahu memastikan ketelusan dan tatakelola yang baik, etika yang betul dalam kalangan pemimpin dan pentadbir, sistem perundangan yang adil dan saksama dan ekosistem yang membolehkan sifar rasuah.
Indonesia tidak sempurna. Tetapi negara itu sedang berusaha keras untuk memperbaiki diri bermula dengan debat mengenai etika para pemimpinnya.
*Tan Sri Johan Jaaffar adalah Tokoh Wartawan Negara. Beliau banyak menulis tentang politik, budaya dan sastera Indonesia.