Pemilik bengkel motosikal didakwa edar dadah

Iklan
Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret atas pertuduhan mengedar hampir dua kilogram dadah, minggu lalu.

AMPANG - Seorang pemilik bengkel motosikal didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan mengedar hampir dua kilogram dadah, minggu lalu.

S Guganeesvaran, 32, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Normaizan Rahim.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine dengan anggaran berat 1.969 kilogram di lorong motosikal Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berdekatan Tol Taman Bukit Teratai, Hulu Langat pada jam 5.30 petang, 9 Januari lalu.

Iklan

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum seksyen 39B (2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dikenakan hukuman mati, hendaklah dihukum dengan sebatan tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie sementara Guganeesvaran diwakili peguam, Nabila Habib.

Iklan

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin terhadap tertuduh dan menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.