Dilarang kutip kerang, Pantai Sura kembali sepi

Iklan
Keadaan Pantai Sura kembali sepi susulan larangan terhadap aktiviti mengutip kerang di pesisir pantai tersebut.

DUNGUN - Pantai Sura dekat sini yang menjadi tumpuan orang ramai mengutip kerang kembali sepi selepas aktiviti itu diarah dihentikan oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati terdapat beberapa anggota polis melakukan pemantauan di kawasan pesisir pantai itu bagi memastikan larangan tersebut dipatuhi oleh orang awam.

Iklan
Iklan

Ini berikutan pesisir pantai di Dungun mempunyai risiko tinggi akibat daripada arus laut yang kuat dengan kelajuan angin 60 kilometer sejam (km/jam) serta ketinggian ombak sebanyak 4.4 meter selain perubahan cuaca yang tidak menentu.

Walau bagaimanapun ada juga beberapa orang awam datang sekadar mengambil angin serta duduk berhampiran pangkin di sekitar pantai berkenaan.

Iklan

Seorang penduduk tempatan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 40, pada awalnya dia mahu mengutip kerang di kawasan pantai itu memandangkan pesta mengutip kerang berkenaan telah tular di media sosial sejak semalam.

"Memang datang nak kutip kerang tetapi selepas polis keluarkan arahan tak boleh lakukan aktiviti kutip kerang di kawasan pantai.

Iklan

"Jadi kita terpaksa akur dan patuhi peraturan ditetapkan," katanya.

Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan polis telah mengeluarkan larangan terhadap aktiviti mengutip kerang di pesisir pantai di Dungun susulan keadaan ombak besar dan angin kencang yang melanda ketika ini.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, ini kerana pihaknya menerima beberapa laporan mengenai aktiviti membahayakan keselamatan individu yang terlibat dalam aktiviti mengutip kerang di pesisir pantai tersebut.

Mengulas lanjut, Maizura menyeru supaya masyarakat mematuhi larangan itu dan tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu yang didapati ingkar terhadap arahan ditetapkan.