BMI bawah 28 antara syarat baharu polis naik pangkat

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Pegawai serta anggota polis perlu memastikan mempunyai indeks jisim badan (BMI) kurang daripada 28 untuk melayakkan mereka dinaikkan pangkat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, BMI itu merupakan syarat tambahan ditetapkan pada masa kini dalam pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat.

Iklan
Iklan

"Pemberian pemangkuan dan kenaikan pangkat diperketatkan dengan syarat tambahan yang berkehendakkan BMI mana-mana anggota atau pegawai berada pada paras kurang dari 28.

"Inisiatif ini bagi memastikan kesihatan serta ketrampilan pegawai polis dalam melonjakkan kemampuan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Jabatan Pengurusan Bukit Aman di sini pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, proses pemangkuan pangkat dalam PDRM turut diperkukuhkan agar lebih telus, adil dan memberi peluang yang sama rata kepada setiap warga pasukan yang berkelayakan.

Jelasnya, dasar Pemangkuan Pangkat bagi Pegawai Kanan PDRM telah diperkenalkan bersama pembinaan Sistem Pembangunan Sumber Manusia yang lebih efisien.

Iklan

"Bermula tahun 2025, proses pemangkuan pangkat dipertingkatkan menerusi pelaksanaan penilaian e–Kursus dan Penilaian Kompetensi Atas Talian (PeKAT).

"Ia bertujuan mengekang isu pilih kasih, tohmahan dan memastikan pemilihan calon yang sesuai, kompeten serta berkelayakan," katanya.

Razarudin berkata, pada tahun ini, pelaksanaan dasar pemangkuan pangkat Asisten Superintenden (ASP) ke Deputi Superintenden (DSP) sedang dilaksanakan bagi memenuhi 254 kekosongan perjawatan DSP.

Ujar beliau, selaras inisiatif Transformasi Pembangunan Modal Insan, PDRM komited dalam memastikan setiap warganya berpengetahuan, berdaya saing serta kompeten menghadapi cabaran melalui pemerkasaan latihan.

"Menerusi jalinan kerjasama strategik PDRM dengan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah berjaya melahirkan warga PDRM yang profesional dan berkredibiliti tinggi menerusi program pengajian berteraskan elemen kepolisan.

"Kolaborasi bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerusi Program Sarjana Sains Sosial diperkasakan melalui pengoptimuman impak keberhasilan program dengan penambahan bilangan peserta setiap kohort kepada 40 Pegawai Kanan Polis dan tempoh pengajian disingkatkan kepada 12 bulan sahaja," katanya.

Jelas beliau, pihaknya turut meneroka sinergi baharu bersama Universiti Malaya (UM) menerusi Program Sarjana Pengadilan Jenayah bermula Mac 2025 selama 18 bulan melibatkan seramai 30 peserta yang terdiri daripada 29 Pegawai Kanan PDRM dan seorang peserta dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Selain itu, PDRM juga komited dalam meningkatkan tahap akademik warga Pegawai Rendah Polis, apabila pada tahun ini seramai 1,350 konstabel percubaan akan mengikuti Program MQA PLAK.

"Ia melibatkan empat program diploma iaitu Diploma Pengurusan Kepolisan, Diploma Siasatan Kepolisan, Diploma Keselamatan dalam Negeri dan Diploma Perisikan Keselamatan," katanya.

Tambah beliau, setiap daripada mereka perlu melengkapkan 90 jam kredit selama lima sehingga tujuh tahun dengan tempoh pengajian 10 sehingga 14 semester.

Katanya, pengajian dimulakan dengan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) yang mengandungi 10 jam kredit, diikuti latihan di lapangan untuk melengkapkan baki jam kredit diperlukan.

"Selain itu, tenaga pengajar di Institusi Latihan PDRM diwajibkan memiliki sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan yang lebih tinggi bagi memastikan program latihan lebih efektif ke arah melahirkan pegawai polis yang proaktif dalam melaksanakan tugas dan kewajipan," katanya.