Bolehkah guna air kolah masjid untuk tujuan perubatan?

Iklan
TERDAPAT sebilangan pengamal perubatan Islam dan tradisional di negara ini yang meminta pesakit menyediakan air kolah masjid sebagai satu daripada bahan dan kaedah pengubatan. -Gambar hiasan

MENGGUNAKAN air dari kolah masjid menjadi antara sebahagian kaedah rawatan yang digunakan oleh sebilangan pengamal perubatan Islam dan tradisional di negara ini.

Namun begitu, air kolah masjid merupakan harta wakaf yang tidak boleh disalah guna untuk tujuan lain.

Iklan
Iklan

Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang menjelaskan, hukum asal menggunakan air yang disediakan untuk sesuatu tujuan tertentu di masjid bagi kegunaan peribadi selain daripada tujuan asalnya adalah haram.

Bagaimanapun, adat setempat memainkan peranan terhadap kesan hukum berkenaan.

Iklan

"Apatah lagi, penggunaan air untuk tujuan berubat itu hanya melibatkan kuantiti sedikit dan kebiasaannya tidak ditegah kecuali jika memang terdapat kenyataan jelas melarangnya atau dinyatakan pengkhususan untuk kegunaan masjid sahaja,” tulisnya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk Hukum menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan yang disiarkan dalam laman web ekemusykilan.penang.gov.my.

DIBOLEHKAN untuk kita menggunakan air kolah masjid untuk tujuan perubatan melainkan terdapat larangan yang jelas seperti tulisan atau adat setempat yang melarangnya. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Iklan

Perkara itu, kata Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang, ia jelas dinyatakan dalam kitab Al-Fath al-Mu’in yang mana Al-Allamah At-Tanbadaawi pernah ditanyakan tentang bekas air dan tempayan di masjid-masjid yang mengandungi air jika tidak diketahui sama ada ia diwakafkan untuk diminum, wuduk, mandi wajib, mandi sunat atau mencuci najis.

Lalu beliau menjawab:"Jika terdapat petunjuk yang menunjukkan bahawa air itu digunakan untuk kegunaan umum, maka dibenarkan semua perkara yang disebutkan seperti minum, membasuh najis, mandi junub dan lain-lain.

"Contoh petunjuk tersebut adalah amalan orang ramai yang menggunakan air untuk tujuan umum tanpa adanya bantahan daripada ahli fiqah (golongan yang mengetahui) atau yang lain.

"Hal ini menunjukkan, dengan tiadanya bantahan bahawa mereka membolehkan penggunaan air untuk pelbagai kegunaan seperti membasuh, minum, mengambil wuduk dan membersihkan najis. Maka dalam keadaan seperti ini, ia dikatakan diharuskan.”

"Ini kerana adat setempat kebiasaannya membenarkan penggunaan air yang sedikit seperti untuk tujuan perubatan atau kegunaan peribadi.

"Kepada mereka yang gunakan kolah masjid untuk tujuan perubatan, kami sarankan agar menyumbang sedikit wang ke dalam tabung masjid sebagai imbalan daripada penggunaan tersebut,” titipnya.