TELUK INTAN - Seorang pembantu kedai makan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Khamis atas pertuduhan memandu kereta di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian tiga warga Pakistan pada pagi 1 Syawal tahun lalu.
Tertuduh, Mohd Azizol Abdul Rasheed, 37, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki itu didakwa memandu Proton Iswara di bawah pengaruh dadah yang menyebabkan kematian Muhammad Zahir, Shayan Muhammad dan Khan Adil.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan hala Bidor di sini, sekitar jam 8.10 pagi pada 10 April 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 44 (1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 15 tahun dan denda antara RM50,000 hingga RM150,000 jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang masih bujang itu turut mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan memandu kereta sama di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kecederaan kepada Khan Saleem, Khan Yaseen dan Kamran Ali di lokasi dan tarikh sama.
Pertuduhan itu dilakukan mengikut Seksyen 44 (1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara antara tujuh hingga 10 tahun dan denda antara RM30,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Izzuddin Fakri Hamdan tidak menawarkan sebarang jaminan dan sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pihak pendakwaan menawarkan RM10,000 untuk setiap pertuduhan dan lesen semua jenis kenderaan digantung sementara sehingga kes selesai.
Sementara itu, peguam Aliff Aiman Rusli yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum diberikan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik selain mempunyai pendapatan sekitar RM50 sehari serta menanggung ibunya berusia 72 tahun yang ada sakit tua.
Mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai dibicarakan.
Kes disebut semula pada 19 Februari ini untuk serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, tiga lelaki warga Pakistan maut manakala tiga lagi parah selepas dirempuh sebuah kereta.
Kejadian itu berlaku ketika semua mangsa berusia antara 20 hingga 35 tahun berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.