KUALA TERENGGANU - Lebih RM2.4 bilion diperlukan untuk membina benteng pemecah ombak di 34 pantai sepanjang 244 kilometer (km) di Terengganu bagi mengelakkan hakisan terutama pada musim Monsun Timur Laut (MTL).
Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat memaklumkan kos membina benteng pemecah ombak kebiasaannya melibatkan antara RM5 juta hingga RM10 juta bagi setiap kilometer.
Beliau berkata, ia bergantung pada beberapa faktor termasuk panjang pantai terlibat serta kos ditentukan berdasarkan jumlah panjang pantai yang memerlukan perlindungan.
"Jenis benteng digunakan akan mempengaruhi kos yang boleh berbeza. Ia bergantung terhadap reka bentuk sama ada benteng konkrit, tetrapod atau gabion.
"Tahap hakisan juga menentukan perbelanjaan. Jika lokasi melibatkan hakisan yang sangat teruk mungkin memerlukan struktur kukuh dan kos lebih tinggi.
"Selain itu, kos bahan dan buruh tempatan serta harga bahan binaan seperti batu, simen dan kos tenaga kerja juga mempengaruhi kos pembinaan benteng pemecah ombak tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.
Pada Selasa, Hanafiah memaklumkan kerajaan Terengganu telah menghantar permohonan peruntukan bagi membina tembok penahan ombak atau struktur 'rock revetment' sejauh 400 meter dengan lebar 1.5 meter dari bahu jalan sebagai pelindung pantai daripada hakisan.
Hanafiah berkata, peruntukan sebanyak RM600,000 itu meliputi kerja-kerja baik pulih jalan runtuh di Kampung Tanjung, Batu Rakit di sini.
Masalah hakisan pantai berlaku menyebabkan dua jalan pantai iaitu Jalan Mengabang Telipot (berhampiran Warung Pok Nong) sepanjang 300 meter dan Jalani Pantai Kampung Tanjung Batu Rakit sepanjang 330 meter ditutup sepenuhnya terhadap semua kenderaan kerana berisiko runtuh.
Sebagai alternatif lain, penduduk di kampung berdekatan terpaksa menggunakan laluan alternatif sementara menunggu kerja-kerja baik pulih dan jalan itu selamat digunakan.
Berhubung segala kos membina benteng berkenaan, Hanafiah menyatakan pihaknya akan berusaha untuk memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan memandangkan ia membabitkan bidang kuasa dan tanggungjawab mereka.
Dalam pada itu, Hanafiah berkata, jumlah anggaran peruntukan diperlukan adalah secara kasar.
Justeru, beliau berkata, kajian mendalam oleh pakar diperlukan bagi mendapatkan jumlah sebenar berdasarkan keadaan setempat.
"Anggaran itu adalah berdasarkan panjang pantai setiap daerah serta kos purata pembinaan tidak termasuk penyelenggaraan jangka panjang.
"Kajian lebih terperinci diperlukan bagi mengenal pasti tahap hakisan dan keperluan pembinaan di setiap lokasi.
"Oleh itu, kita turut menggesa Kerajaan Persekutuan untuk segera meluluskan peruntukan tambahan bagi menangani isu hakisan yang kian mengancam kawasan pantai tersebut," jelas beliau.