SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) digesa memastikan inti pati dasar pendidikan wajib yang bakal dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan hadapan adalah merangkumi keseluruhan 12 tahun tempoh pendidikan peringkat rendah dan menengah.
Bekas Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan berkata, KPM tidak harus sekadar menumpukan terhadap kewajipan penerimaan pendidikan sekolah menengah dalam kalangan pelajar semata-mata.
Jelasnya, ini memandangkan isu ketidakhadiran dan keciciran turut berleluasa dalam lingkungan pendidikan peringkat rendah dengan pelaksanaan dasar pendidikan wajib oleh KPM kelak diharapkan tidak sekadar tertumpu aspek penguatkuasaan hukuman.
"Saya tidak tahu apa hasrat Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) untuk mencadangkan ini sebagai satu dasar. Mungkin dasar itu baik dan bagus untuk atasi isu keciciran pelajar.
"Tetapi inisiatif KPM untuk mengatasi masalah ini memang sudah ada sejak zaman pentadbiran kami lagi (kerajaan Barisan Nasional).
"Bagi saya, dalam usaha mengatasi masalah ketidakhadiran dan keciciran pelajar dari penerimaan pendidikan formal, penggubalan dasar sahaja tidak cukup... Ini kerana inisiatif menanganinya sudah ada,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Tambah beliau, anak-anak perlu dipastikan menerima pendidikan wajib 12 tahun meliputi sekolah rendah dan menengah, bukan sekadar penekanan pendidikan sekolah menengah semata-mata.
Pada Isnin, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mendedahkan KPM bakal membentangkan dasar mewajibkan pendidikan sekolah menengah sebagai sebahagian inisiatif mengatasi masalah keciciran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang melibatkan ribuan pelajar setiap tahun.
Katanya, dasar itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat, bulan depan, dengan berlandaskan objektif mengangkat sistem pembelajaran peringkat menengah untuk membantu mengubah kehidupan pelajar dengan kelulusan lebih baik.
Dasar mewajibkan pembelajaran di sekolah menengah akan dibuat menerusi pindaan Akta Pendidikan 1996 yang telah selesai di peringkat Jabatan Peguam Negara.
Mengulas lanjut, Kamalanathan yang juga bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor turut mencadangkan pelaksanaan dasar pendidikan wajib oleh KPM kelak, mengambil kira peranan menyeluruh semua pemegang taruh termasuk ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), alumni sekolah dan pemimpin-pemimpin setempat dalam membantu pelajar tercicir.
Paling utama, beliau berharap penggubalan dasar pendidikan baharu ini menekankan kepada aspek keperluan mencari punca sebenar isu ketidakhadiran dan keciciran pelajar serta kaedah penyelesaian tuntas, bukan sekadar memfokuskan aspek penguatkuasaan hukuman.
"Perkara ini penting kerana masih ramai dalam kalangan pelajar sekolah tercicir disebabkan faktor kemiskinan atau isu jarak sekolah dengan rumah yang terlalu jauh.
"Kalau ada dalam kalangan mereka sengaja tidak hadir peperiksaan SPM meskipun berkemampuan, kita kena kenal pasti adakah mereka tidak nampak sebarang masa hadapan di sebalik keperluan peperiksaan berkenaan?
"Justeru semua pihak harus bertanggungjawab dengan pemimpin-pemimpin setempat, PIBG, alumni sekolah mahu pun ibu bapa sendiri perlu memainkan peranan lebih besar memastikan kelompok pelajar ini dibantu dengan sebaiknya,” katanya.