PERANAN pendakwah dalam masyarakat bukan sekadar menyampaikan ilmu agama di masjid atau surau, tetapi juga merangkumi usaha mendekati dan memahami masyarakat sekelilingnya.
Usaha pendakwah turun padang dan menyelami realiti kehidupan masyarakat membuatkan ilmu agama yang disampaikannya dapat diamalkan secara praktikal di lapangan sekaligus menjadikan dakwah lebih berkesan.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, seorang pendakwah mestilah terlihat kewujudannya.
"Dia tidak boleh sekadar duduk dalam bilik berhawa dingin dan mencatur dari belakang sahaja.
"Sirah para nabi membuktikan sedemikan. Susuk tubuh Nabi Muhammad SAW dikenali oleh orang Quraisy.
Tambah ahli akademik itu, begitu juga dengan dakwah Nabi Ibrahim AS yang dikenali oleh kaumnya sehinggakan apabila berhala mereka dirosakkan, mereka lantas menuduh Nabi Ibrahim lantaran masyhurnya sosok tubuh Baginda dan dakwahnya.
Kisah itu diabadikan ALLAH SWT dalam ayat ke-60 surah al-Anbiya: "Mereka berkata: ‘Kami mendengar ada seorang anak muda yang bernama Ibrahim mencelanya (berhala-berhala)’.”
"Begitu juga dengan dakwah Mus’ab bin Umayr sehinggakan kebanyakan kabilah di Madinah pernah mendengar nama dan dakwahnya.
Ujarnya, Saad berkata:"Sesungguhnya telah sampai kepadaku bahawa dia (As’ad bin Zurarah) telah datang bersama seorang lelaki asing (iaitu Mus’ab) yang diejek oleh orang bodoh dan orang lemah dalam kalangan kita.”
Jelas ahli akademik itu, begitulah tabiat para pendakwah yang turun bersama masyarakat dan dikenali dengan dakwahnya serta tidak memadai dengan bersimpuh dalam bulatan tersendiri.