'Mohd Dusuki, Terrirudin perlu letak jawatan' - Apandi

Iklan
Ahmad Terrirudin (kiri), Mohd Dusuki dan Apandi.

SHAH ALAM - Peguam Negara, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar perlu meletak jawatan atau ditamatkan perkhidmatan kerana tidak telus mengenai kewujudan Titah Adendum melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, selain Mohd Dusuki, penyandang sebelumnya iaitu Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang kini Hakim Mahkamah Persekutuan juga perlu bertanggungjawab memandangkan titah Yang di-Pertuan Agong ditujukan khas kepadanya.

Iklan
Iklan

"Dia patut disingkirkan daripada memegang apa-apa jawatan sekarang dan kerajaan mesti tegas dalam isu ini.

"Rakyat sedang memerhati. Perlembagaan Persekutuan mesti ditegakkan, begitu juga kedaulatan undang-undang," katanya ringkas menerusi ruangan komen di Facebook pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada laporan berita berhubung kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa kerajaan tidak menyorokkan Titah Adendum, sebaliknya ia dihantar kepada Peguam Negara.

Menurutnya, pendirian beliau yang enggan mengulas isu tersebut dan mengambil pendekatan berdiam diri kerana ia melibatkan institusi diraja.

Iklan

Bagaimanapun, kata Anwar, adendum berkenaan disampaikan kepada Peguam Negara dan apabila Yang di-Pertuan Agong bertukar, ia diserah pula kepada Istana Negara kerana baginda yang mempengerusikan Lembaga Pengampunan.

Anwar juga menempelak sikap pemimpin pembangkang yang seolah-olah mahu menyalahkan beliau tentang isu Titah Adendum.

Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun berhubung kes SRC International dan dijangka bebas pada Ogos 2028.

Beliau pada mulanya dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, namun Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan Agong mengurangkan tempoh kepada enam tahun.

Lembaga terbabit juga mengurangkan dendanya daripada RM210 juta kepada RM50 juta.