ALOR GAJAH - Seorang lelaki warga emas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan mencabul anak jirannya yang berusia enam tahun dalam kejadian minggu lalu.
Tertuduh yang berusia 67 tahun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Syazana Abd Lajis.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berkenaan dengan cara meraba kemaluan mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada waktu petang di sebuah rumah pada 6 Januari lalu.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah akta sama.
Bagi kesalahan itu, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat jika disabitkan kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Sharina Farhana Nor Sa'ari mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM18,000 serta syarat-syarat tambahan tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang kes berlangsung.
Syazana bersetuju dengan cadangan yang diberikan pihak pendakwaan dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 selain mengarahkan tertuduh perlu melaporkan diri balai polis berhampiran setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah menetapkan 18 Februari depan bagi tarikh serahan dokumen dan lantikan peguam.
Sinar Harian pada 8 Januari lalu melaporkan individu itu dipercayai melakukan amang seksual fizikal terhadap anak jirannya.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md Nazri Zawawi berkata, suspek berusia 67 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka selepas bapa kanak-kanak perempuan itu membuat laporan polis.
Menurutnya, kejadian yang menimpa mangsa itu terbongkar selepas mangsa anak kedua daripada tiga beradik menceritakan perbuatan suspek kepada bapanya berusia 31 tahun pada malam hari yang sama.