PARIT BUNTAR - Keputusan menetapkan harga belian padi kepada RM1,300 per tan oleh pengilang memberi tekanan kepada golongan petani seluruh negara.
Petani, Mohd Reduan Maharane, 70, berkata, dia begitu kesal dengan penurunan harga tersebut disifatkan sebagai melampau berbanding harga belian padi RM1,700 per tan sebelum ini.
Tambahnya, meskipun terdapat penafian daripada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), pembelian dengan harga baharu itu sudah pun dilaksanakan oleh pengilang.
"Harga yang diberikan itu tidak termasuk potongan sebanyak 20 peratus. Kami tinggal berapa la sangat, belum masuk kos mesin jentuai, traktor, duit benih yang mahal dan hutang kami makin bertambah.
"Pihak berwajib tolonglah turun padang, lihatlah masalah kami yang ditimpa bertalu-talu kerana rata-rata petani merupakan golongan berpendapatan rendah," katanya ketika ditemui pemberita di Tanjung Piandang di sini pada Sabtu.
Terdahulu hampir 200 pesawah berkumpul bagi mengadakan demonstrasi aman membantah penurunan harga padi dan mendesak kerajaan campur tangan agar harga belian padi musim ini dinaikkan kepada RM1,800 per tan.
Kawasan jelapang padi di daerah Kerian mempunyai keluasan sekitar 18,727 hektar melibatkan 8,920 pesawah di mukim Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.
Bagi Abd Rahim Omar, 60, pengenalan harga baharu itu boleh menjejaskan pengeluaran padi negara.
"Kami mungkin mogok sebab beras merupakan makanan ruji rakyat, kenapa kerajaan tidak jaga kami?
Musim lepas berasalah harga RM1,700 tetapi dengan harga belian baharu ini memang tidak masuk akal menyebabkan kami berasa tertekan.
"Masalah petani berhadapan serangan tikus tidak siapa pun yang membantu kini tambah pula harga belian rendah, ia bukan sahaja menambah beban malah tidak cukup untuk sara keluarga," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Azhar Hashim berkata, keputusan kerajaan menetapkan harga baharu padi itu adalah satu penghinaan kepada pesawah.
Katanya, harga tersebut langsung tidak masuk akal dan tidak mencerminkan peningkatan kos sara hidup dan kos pengeluaran padi yang semakin membebankan.
"Tuntutan utama demonstrasi ini adalah agar kerajaan mengkaji semula harga minimum dengan menetapkan harga kepada RM1,800 per tan.
"Kerajaan perlu mengambil kira segala kenaikan kos pengeluaran yang terpaksa ditanggung oleh pesawah. Kos benih padi kini mencecah RM58- RM70 bagi setiap 20kg serta kos membajak dan menuai akibat penghapusan subsidi diesel," katanya.
Tambah Azhar, kerajaan perlu menaikkan harga siling beras berikutan harga kawalan beras tempatan pada RM2.60 per kilogram (kg) sejak tahun 2004 adalah tidak relevan dan periu dinaikkan kepada RM3.60 per kg.
"Langkah ini penting bagi mengimbangi kenaikan kos pengeluaran padi dan memastikan kelangsungan hidup pesawah.
"Kerajaan juga perlu melibatkan wakil pesawah dalam sebarang perbincangan berkaitan dasar dan harga padi. Suara dan pandangan pesawah perlu didangar dan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.