5,000 disasar khatam tadabbur al-Quran tahun ini

Iklan
Hussamuddin (depan, kiri) dan Adnan (depan, kanan) bergambar bersama pengusaha Rumah Ngaji negeri Kelantan. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

KOTA BHARU - Seramai 5,000 ummah disasarkan khatam tadabbur al-Quran melalui Rumah Ngaji negeri Kelantan tahun ini.

Penasihat Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, setelah 10 tahun penubuhan Rumah Ngaji, tiba masa prestasi gerakan itu ditingkatkan lagi selepas kejayaan meletuskan gelombang kesedaran masyarakat di seluruh dunia terhadap pentingnya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran.

Iklan
Iklan
Hussamuddin (lima dari kiri) yang hadir pada Konvensyen Rumah Ngaji PRNNK pada Sabtu. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

"Kita kena tingkatkan lagi prestasi kerana sudah 10 tahun, peningkatannya mesti lebih tinggi selepas berjaya menggerakkan komuniti bersama al-Quran.

"Setiap hari mengaji, kena ada satu objektif sekurang-kurangnya 5,000 boleh khatam tadabbur al-Quran pada tahun ini, bukan khatam bacaan al-Quran sahaja tetapi khatam tadabbur,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Rumah Ngaji Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) di Masjid Muhammadi di sini pada Sabtu.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim.

Menurut Hussamuddin, sebahagian jumlah khatam tadabbur itu juga disasar akan dapat dicapai dan dilaksanakan di World Quran Hour 2025 pada 24 Ramadan atau 25 Mac ini.

Iklan
Pengusaha-pengusaha Rumah Ngaji negeri Kelantan yang hadir di Masjid Muhammadi, Kota Bharu. Foto SINAR HARIAN-ADILA SHARINNI WAHID.

Beliau berkata, terdapat 240 pertubuhan Rumah Ngaji di Kelantan dengan 1,100 ahli dan menjadi antara Rumah Ngaji yang aktif mengadakan pelbagai aktiviti bersama al-Quran sejak ditubuhkan 10 tahun lalu.

"Pengusaha Rumah Ngaji menggalas amanah besar dalam usaha untuk memahamkan masyarakat setempat terhadap kepentingan hidup berlandaskan al-Quran.

"Satu Rumah Ngaji di satu kampung yang ada 100 keluarga, pengusaha Rumah Ngaji kena pastikan 100 keluarga itu pandai mengaji al-Quran, faham dan mengamalkan hidup cara al-Quran,” kata Hussamuddin.

Menurut Hussamuddi, masyarakat yang berpegang dengan ajaran al-Quran akan dengan sendirinya dapat menyelesaikan masalah sosial yang membelenggu seperti dadah terutama dalam kalangan anak muda.

Kata beliau, al-Quran juga dapat menyelesaikan isu-isu kepincangan dalam kepimpinan dan mana-mana individu yang belum pandai mengaji, sangat alu-alukan untuk datang manakala individu berharta atau berduit digalakkan untuk menginfakkan kesenangan bagi memperkasakan lagi Rumah Ngaji.

"Apabila di padang mahsyar, orang mengaji ALLAH akan panggil dulu dan usaha membantu komuniti mengaji ini akan pahala yang besar.

"Kita bantu selamatkan keluarga, jiran, adik-beradik, anak-beranak dan masyarakat untuk hidup berpandukan al-Quran sebagai persiapan selepas kematian,” katanya.