KETUA Jurulatih Interim Kedah Darul Aman (KDA) FC, Victor Andrag memuji barisan pemainnya apabila berjaya menewaskan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 1-0 pada aksi Liga Super walaupun berdepan masalah kewangan.
Menurutnya, dengan masalah yang dihadapi tersebut, Sang Kenari mampu melonjakkan kedudukan mereka ke tangga keenam liga pada Jumaat hasil jaringan tunggal Fayadh Zulkifli.
"Dalam situasi ini, pasukan masih mampu berada di pertengahan liga dalam keadaan yang sukar.
"Pasukan berjaya mengharungi pelbagai cabaran dan halangan. Mereka terus bergerak sebagai satu keluarga walaupun menghadapi masalah," katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan pada Jumaat.
Jelas Victor, pemainnya layak mendapat penghargaan daripada semua penyokong Sang Kenari.
Menurutnya, KDA FC menghadapi kesukaran pada awalnya sebaik perlawanan berlangsung.
"Kita berjaya mendapat gol awal dan mencipta beberapa peluang walaupun lawan memberikan tentangan hebat. Namun masih ada perkara yang perlu diperbaiki
"Pemain yang diberi tanggungjawab menunjukkan komitmen dan karakter yang baik. Mereka memberikan yang terbaik walaupun kita ada beberapa perubahan dalam pasukan," ujarnya.
Tambahnya, beliau yakin pemain-pemain muda yang diberikan peluang mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh pemain yang telah meninggalkan pasukan sebelum ini.