Hassan Karim beri amaran mengenai perhimpunan 6 Januari
Iklan
Hassan Karim
JOHOR BAHRU - Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa perpaduan Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim akan tergugat sekiranya perhimpunan pada 6 Januari di Putrajaya menjadi kenyataan.
Dakwanya, Titah Adendum akan menjadi isu panas yang boleh 'membakar' perpaduan Kerajaan Madani.
Iklan
Iklan
Menurutnya lagi, parti Pas cepat 'menangguk di air keruh' untuk mendapat laba politik dengan menggerakan satu usaha menganjurkan perhimpunan besar di depan Istana Kehakiman, Putrajaya pada 6 Januari depan.
"Pas secara rekod mempunyai keupayaan untuk mengemblengkan ahli-ahli dan penyokongnya untuk menyertai perhimpunan-perhimpunan besar sebelum ini.
Iklan
"Pemimpin Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) telah menyatakan secara terbuka bahawa tiada halangan jika ahlinya turun ke jalan raya pada 6 Januari depan.
"Dalam masa yang sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Dr Puad Zarkashi mengalu-alukan sokongan Pas dan parti-parti lain terhadap isu pengampunan," katanya.
Iklan
Menurut Hassan, pemimpin Kerajaan Madani sekarang cukup faham kesan politik terhadap siri-siri perhimpunan raksa oleh rakyat jelata.
"Contohnya perhimpunan Bersih 1 hingga Bersih 5 telah menjatuhkan kerajaan Najib Razak (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan UMNO/ Barisan Nasional yang telah memerintah Malaysia selama 60 tahun sejak Merdeka.
"Begitu juga tentu sekali Anwar Ibrahim masih ingat lagi bagaimana Kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad digoncang hebat dengan perhimpunan besar membantah isu ICERD dan Statut Rome anjuran bersama Pas dan UMNO sehingga akhirnya kerajaan PH tersebut tumbang selepas jadi kerajaan hanya 22 bulan sahaja,” katanya menerusi kenyataan.
Jelasnya, berdasarkan kenyataan Jabatan Peguam Negara (AGC), apa pun yang berlaku di Mahkamah Rayuan pada 6 Januari depan, kedudukan kes pengampunan terhadap Najib tidak menempuh jalan gelap berpanjangan, sebaliknya mungkin ada sinar di hujung terowong.
"Kenyataan media Jabatan Peguam Negara ini memberi isyarat awal bahawa permohonan pengampunan Najib Razak masih boleh dikemukakan kepada Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong sekarang, Sultan Ibrahim.
"Sama-samalah kita lihat perkembangan terbaru ini. Adakah Najib berpeluang seperti kata perumpamaan dalam bahasa Inggeris, 'second bite of the cherry'?
"Tetapi perlu dinyatakan dari segi kedaulatan undang-undang bahawa 'second bite of the cherry' adalah satu contoh salah guna proses undang-undang. Jika itu berlaku, adakah ia satu tatakelola pentadbiran kerajaan yang baik?” katanya.
<div itemscope itemtype="https://schema.org/VideoObject"><meta itemprop="name" content="BN-DAP dalam kerajaan negeri umpama 'bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak' - Ab Rauf"><meta itemprop="description" content="BN tidak menghalang sekiranya DAP membuat keputusan untuk keluar daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka, kerana kerjasama kedua-dua parti diumpamakan seperti ‘bernikah tidak berkadi, bercerai tidak bertalak’.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau menghormati apa juga keputusan yang dibuat oleh DAP kerana penyertaan parti itu dalam pentadbiran negeri bukan berasaskan sebarang perjanjian rasmi.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/787788/berita/politik/bn-dap-dalam-kerajaan-negeri-umpama-bernikah-tidak-berkadi-bercerai-tidak-bertalak---ab-rauf
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.
#SinarHarian #BeritaSemasa #KerajaanMelaka"><meta itemprop="uploadDate" content="2026-07-14T09:46:21.000Z"><meta itemprop="thumbnailUrl" content="https://s2.dmcdn.net/v/cZdqc1gLWLxC4JwaM/x1080"><meta itemprop="duration" content="P90S"><meta itemprop="embedUrl" content="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.html?video=xap4pwm"><meta itemprop="contentUrl" content="https://www.dailymotion.com/crawler/video/xap4pwm"><script src="https://geo.dailymotion.com/player/xjdhm.js" data-video="xap4pwm"></script>