KUANTAN - Seorang wanita warga emas yang nekad laburkan wang simpanan berjumlah RM134,960 selepas tertarik keuntungan lumayan ditawarkan satu skim pelaburan dalam talian.
Mangsa berusia 63 tahun berbuat demikian setelah menerima keuntungan RM45 daripada RM30 yang dilaburkan sebelum itu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, percaya dengan keuntungan yang telah diperoleh, mangsa mula menambah modal pelaburan dengan membuat 12 transaksi pembayaran melalui sembilan akaun bank berbeza.
Menurutnya, mangsa syak ditipu apabila diminta menambahkan modal pelaburan sebelum dibenarkan mengeluarkan wang keuntungan.
"Mangsa telah diberikan pautan untuk dimasukkan dalam grup Telegram bernama 'B1VIP'.
"Mangsa mula melabur sebanyak RM30 dan memperoleh pulangan sebanyak RM45 hingga mendorong dia menambah pelaburan dan mengalami kerugian," katanya.
Yahaya berkata, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud atas talian.
"Buat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima melalui pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi," katanya.