SHAH ALAM - Sebilangan besar kumpulan ajaran sesat di negara ini didakwa mempunyai motif dan modus operandi yang serupa.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, lebih malang apabila kaum wanita menjadi mangsa untuk dieksploitasi.
Menurutnya, mereka menganggap penyerahan diri kepada kumpulan itu sebagai satu tindakan dan amalan suci.
"Ketua mereka mengaku Tuhan, nabi atau Imam Mahdi,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Mujahid berkata, statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melaporkan sebanyak 160 ajaran sesat direkodkan sejak 1950 hingga tahun ini.
"Ini seperti didedahkan oleh cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bukit Aman, ACP Khairul Nizam Yaacob,” ujarnya.
Sebagai rekod, Khairul Nizam melaporkan motif ajaran sesat biasanya kewangan, pengaruh dan eksploitasi wanita.
Katanya lagi, kebanyakan wanita ini selepas berbaiah, mereka rela diperlakukan dengan tidak sepatutnya oleh ahli atau ketua ajaran sesat kerana menganggap ianya tindakan suci.
"Ada juga mengaku sebagai Imam Mahdi dan ini paling banyak kes sejak kebelakangan ini menggunakan naratif ‘akhir zaman’ untuk memudahkan sebaran ajaran mereka,” katanya.