KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan menggesa pihak berkaitan supaya mengkaji semula perancangan pelaksanaan Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok secara berfasa, dengan penjadualan yang lebih teratur dan strategik.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, langkah ini penting agar kesan buruk kepada rakyat di kawasan projek yang dalam proses pembinaan ini tidak berterusan sepanjang tempoh pelaksanaan.
"Kami (Kerajaan Kelantan) mengambil maklum mengenai kebimbangan rakyat, khususnya penduduk di sekitar kawasan lembangan Sungai Golok yang terlibat dengan risiko banjir yang semakin membimbangkan.
Menurut beliau, cadangan pembinaan pintasan (bypass) berfungsi untuk mengalirkan air ke Sungai Mengkuang atau Pengkalan Nangka bagi mengelakkan risiko banjir lebih teruk di kawasan Meranti, Lancang, dan sekitarnya perlu dinilai dan diteliti sebagai langkah penyelesaian yang signifikan.
Ujarnya, Kerajaan Kelantan menyeru agar pandangan dan idea penduduk asal kampung-kampung sekitar Sungai Golok diambil kira dalam setiap perancangan.
Mohd Nassuruddin memberitahu, sebagai stakeholders utama, mereka lebih memahami keperluan dan cabaran setempat yang perlu diberikan perhatian serius.
Tambah beliau, kerugian tahunan yang dialami penduduk akibat banjir sentiasa menjadi keprihatinan di peringkat kerajaan.
"Oleh itu, pelaksanaan projek tebatan banjir perlu dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan kerugian lebih besar pada masa hadapan.
"Kami juga menyeru agar reka bentuk projek dikaji semula dengan mengambil kira standard perlindungan terkini yang lebih realistik," katanya.
Menurut beliau, pembinaan culvert yang dirancang ke tanah orang kampung berdekatan telah memberi kesan besar akibat luruan air semasa banjir atau semasa aras air melebihi ban dari jajaran ban Sungai Golok hingga ke Meranti dan sekitarnya melebihi 10 kilometer (km).
Mohd Nassuruddin memberitahu, langkah mitigasi yang komprehensif perlu disediakan bagi melindungi penduduk.
Ujarnya, kerajaan negeri amat komited untuk memastikan rakyat di kawasan terlibat tidak lagi menjadi manga setiap kali musim tengkujuh dengan terus bekerjasama melalui Kerajaan Persekutuan, agensi-agensi, dan penduduk setempat dalam memastikan penyelesaian jangka panjang yang efektif terhadap isu banjir ini.