KUALA LUMPUR - Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam dalam proses memuktamadkan laporan sebelum diserahkan kepada Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, perkembangan tersebut dimaklumkan Tun Zaki Azmi yang mempengerusikan jawatankuasa itu.
"Berkaitan dengan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang dipengerusikan Tun Zaki, Alhamdulillah sebanyak 40 kali mesyuarat telah diadakan dengan yang g terakhir pada 15 November lalu.
"Setakat ini, saya dimaklumkan oleh Tun Zaki bahawa mereka dalam proses memuktamadkan laporan yang dilakukan dan akan diserahkan kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Shah.
"Insya-ALLAH, saya percaya Tun Zaki sebagai pengerusi telah mengambil kira pandangan semua pihak yang terlibat,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Zulkifli Ismail (PN-Jasin) mengenai status kajian DUN untuk menggubal undang-undang Islam di negara ini.
Mohd Na’im pada Disember tahun lalu mengumumkan pelantikan Tun Zaki yang juga bekas Ketua Hakim Negara sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) yang turut dianggotai 10 individu lain.
Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Mohd Zawawi Salleh; Anggota Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka, Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.
Menurutnya, jawatankuasa khas itu akan mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka dan syor-syor yang dibuat akan dikemukakan ke MKI dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.
Beliau menambah, jawatankausa tersebut juga akan melihat dan memperhalusi semua perkara melibatkan pertindihan antara mahkamah syariah dan sivil termasuk isu melibatkan pertukaran agama, harta, tuntutan hadhanah, wasiat dan sebagainya.
Ujarnya, jawatankuasa itu akan meneliti alasan penghakiman yang dikemukakan bukan saja dalam kes Iki Putra Mubarak tetapi juga kes Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid.